GURINDAM 12

1.0 Pengenalan

Menurut Sulaiman Masri (1949), perkataan ‘gurindam’ berasal daripada bahasa Sanskrit, merupakan puisi Melayu tradisional yang berbentuk bukan naratif. Gurindam dianggap puisi terikat dan bentuknya dua baris serangkap. Rima hujungnya sama, iaitu a-a. Baris pertama gurindam disebut syarat, baris kedua gurindam pula disebut jawab. Gurindam mengandungi pemerian tidak berjenaka, tidak menyindir, tidak memperkatakan undang-undang, atau mengubati penyakit. Gurindam merupakan puisi yang ditulis untuk dibaca dan dihayati serta berfungsi untuk menyampaikan pendidikan seperti iman dan moral yang baik. 

Menurut H.Iberamsyah Barbary (2015), gurindam merupakan salah satu puisi Melayu lama yang lebih dikenali sebagai sastera Melayu lama. Perkataan gurindam ini berasal dari bahasa Tamil (India), kirindam, yang bermaksud ‘mula-mula amsal, perumpamaan’ atau dalam bahasa Sanskrit dinamakan sebagai ‘rangkap yang menjadi bidalan’. Dalam tugasan ini, gurindam yang akan dikaji ialah Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji. Gurindam Dua Belas ini banyak mengandungi unsur-unsur nasihat tentang kehidupan yang perlu dilalui oleh seseorang individu.

2.0 Latar Belakang Raja Ali Haji

Nama penuh Raja Ali Haji ialah Raja Ali al-Hajj ibni Raja Ahmad al-Hajj ibni Raja Haji Fisabilillah bin Opu Daeng Celak Alias Engku Haji Ali ibni Engku Haji Ahmad Riau. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1809M dan dikatakan telah meninggal dunia pada tahun 1870M. Raja Ali Haji berasal dari Pusat Kesultanan Riau-Lingga di Pulau Penyengat iaitu pada masa ini termasuk dalam wilayah Kepulauan Riau, Indonesia. Ketika hayatnya, Raja Ali Haji telah dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang memiliki latar belakang pendidikan keagamaan dan keilmuan yang kuat. Maka tidak hairanlah beliau telah diasuh oleh ayahnya sejak kecil untuk mempelajari bahasa Arab dan ilmu agama dengan baik. Selain itu, beliau juga pernah menuntut ilmu sehingga ke Mesir dan Mekah.

 Oleh kerana mempunyai pelbagai kemahiran terutama dalam bidang agama, Raja Ali Haji pernah menjawat beberapa jawatan penting di antaranya ialah memegang jawatan penting dalam kerajaan Riau-Johor, menjadi guru agama yang mengajar tatabahasa, fiqah dan tasawuf serta mengajar bahasa Arab.

            Sepanjang hayatnya, beliau juga banyak memberikan sumbangan kepada kemajuan dan keilmuan terhadap masyarakat sezamannya. Hal ini kerana Raja Ali Haji sememangnya seorang penulis yang berbakat pada zamannya. Oleh itu kebanyakan sumbangan beliau meliputi dalam bidang bahasa, kesusasteraan, sejarah dan agama. Maka tidak hairanlah kebanyakan bahan penulisan beliau telah menjadi bahan kajian para sarjana sehingga kini. Di antara hasil karya beliau dalam bidang bahasa ialah Bustanul Katibin pada tahun 1850M dan Kitab Pengetahuan Bahasa pada tahun 1858M. Bidang sastera pula menampilkan karya seperti Gurindam Dua Belas yang dikaji ini, Syair Siti Sianah, Syair Abdul Muluk dan Syair Taman Permata. Karya dalam bidang sejarah pula ialah Kitab Salasilah Melayu dan Bugis pada tahun 1860M dan Tuhfat Al-Nafis pada tahun 1865M. Manakala yang seterusnya karya beliau dalam bidang undang-undang pula ialah Thamarat al Muhamed dan Mukaddimah fi Intizam al-Wazir al-Malik.

3.0 Falsafah dan Pemikiran 

3.1 Falsafah

Menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris et al. (2015:16), falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran. Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Di antara bidang falsafah yang diberi penekanan ialah etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik dan logik. Dalam Gurindam Dua Belas ini, terdapat beberapa bidang falsafah yang ditekankan antaranya :

3.1.1 Sosial

Menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris et al. (2015:17), bidang sosial adalah berkenaan dengan gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Dalam gurindam yang dikaji, bidang falsafah sosial ini dapat dilihat pada wujudnya gambaran kehidupan kekeluargaan dan masyarakat seperti contoh di bawah :

Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan obat.

Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap seteru.

Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh dimenyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang yang setiawan.

Cahari olehmu akan ‘abdi,
Yang ada baik sedikit budi.


 (Fasal 6 )

Berdasarkan contoh ini, dapat dilihat bahawa gambaran kehidupan itu telah diperjelaskan dengan adanya peranan sahabat, guru, isteri dan kawan.

3.1.2 Politik

Menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris et al. (2015:17), bidang politik adalah berkenaan dengan aplikasi dan tujuan sistem pemerintahan sesebuah negara. Dalam gurindam ini, ada diperjelaskan mengenai konsep pemerintah dan juga ciri-ciri pemerintahan.
Hendaklah jadi kepala,
Buang perangai yang cela.

 (Fasal 6, Rangkap 2)

Berdasarkan contoh ini, dapat dilihat bahawa perkataan ‘kepala’ yang dimaksudkan itu adalah bermaksud ketua atau pemimpin. Sebagai seorang pemimpin, mereka haruslah memiliki rasa tanggungjawab dan menjauhi akhlak yang tercela. Setiap pemimpin negara, seseorang itu haruslah bertanggungjawab kepada rakyatnya. Pemimpin keluarga iaitu suami pula bertanggungjawab kepada keluarga, isteri dan anak-anaknya. Isteri juga bertanggungjawab kepada suami dan anak-anaknya manakala anak-anak pula bertanggungjawab kepada pemimpin mereka iaitu ibu dan ayah mereka. Amanat yang diberi ini perlulah dijaga dengan sebaiknya.

3.1.3 Ekonomi

Menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris et al. (2015:17), bidang ekonomi pula adalah berkenaan dengan sistem pendapatan dan pengurusan harta benda.
Barang siapa meninggalkan zakat,
Tiadalah hartanya beroleh berkat.

(Fasal 4, Rangkap 2)

Berdasarkan contoh ini, dapat dilihat bahawa zakat yang perlu dikeluarkan oleh setiap masyarakat merupakan salah satu sistem pendapatan. Zakat yang dikeluarkan ini digunakan dalam banyak acara dan kesemuanya bertujuan untuk membantu dan menjaga kebajikan setiap masyarakatnya.

3.2 Pemikiran

Secara keseluruhannya, Gurindam Dua Belas yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji ini sememangnya bertemakan budi pekerti, nasihat-nasihat dan pengajaran-pengajaran hidup yang penting dalam proses kehidupan bermasyarakat. Gurindam Dua Belas ini memperlihatkan beberapa pemikiran antaranya ialah :

3.2.1 Pemikiran mengenai Keagamaan

Aspek utama yang diketengahkan adalah mengenai nasihat tentang agama. Setiap manusia haruslah memiliki agama kerana nilai agama ini sangat penting bagi kehidupan seseorang. Orang yang tidak memiliki agama ini akan buta huruf dalam menjalankan hidupnya. Setiap manusia haruslah mengenal penciptanya iaitu Allah S.W.T, dan haruslah melakukan perintah dan menjauhi larangan-Nya. Setiap manusia juga haruslah hidup berlandaskan syariat kerana setiap perbuatan yang dilakukan di dunia ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hal-hal yang berkaitan dengan sembahyang, puasa, zakat, dan haji adalah merupakan hal yang penting dan perlu dilakukan dengan tertib oleh setiap hambanya.

3.2.2 Pemikiran mengenai Akhlak dan Budi Pekerti

Aspek kedua yang diketengahkan dalam Gurindam Dua Belas ini adalah mengenai akhlak dan budi pekerti. Mata haruslah digunakan dengan sebaik-baiknya, telinga haruslah dijauhkan dari segala bentuk hasutan, dan percakapan haruslah berbudi bahasa. Hal-hal yang merugikan diri sendiri seperti maksiat haruslah dielakkan. Seseorang manusia itu perlulah mempunyai budi pekerti yang mulia seperti tidak bersifat dengki sesama sendiri, tidak berbohong, sentiasa meminta maaf dan juga melakukan kerja-kerja yang halal. Setiap anak juga haruslah menghormati kedua-dua ibu bapa mereka  yang selama ini telah banyak berkorban untuk membesarkan mereka.


3.2.3 Pemikiran mengenai Pentingnya Pendidikan

Aspek ketiga yang diketengahkan dalam Gurindam Dua Belas ini adalah mengenai pendidikan. Pendidikan merupakan suatu aspek yang sangat penting. Melalui pendidikan, kita dapat membezakan seseorang individu dengan individu yang lain . Orang yang berilmu ini dikatakan lebih mulia sikapnya, berhemah dan bijak dalam pergaulan baik dalam pergaulan sesama masyarakat, sahabat mahupun guru. Sebagai seorang yang berpendidikan, pemilihan kerjaya yang baik itu adalah sangat dituntut. Kerja yang dipilih itu mestilah mendatangkan sumber yang sahih dan juga halal.

3.2.4 Pemikiran mengenai Konsep Pemerintahan

Aspek keempat yang diketengahkan dalam Gurindam Dua Belas ini adalah mengenai konsep pemerintahan. Setiap pemerintah yang dipilih haruslah menjalankan tugasnya dengan amanah, bertanggungjawab dan harus mempraktikkan kepimpinan cara Islam. Pemimpin juga haruslah sentiasa menjaga kebajikan rakyat dan bersikap amanah. Hubungan silaturahim antara pemerintah dengan rakyat haruslah dijaga dan dipelihara dengan baik. 

4.0 Kepengarangan dan Estetika

4.1 Kepengarangan

Menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris et al. (2015:96), aspek kepengarangan dan estetika merupakan dua unsur yang sangat penting dan mempengaruhi kedudukan sesebuah teks serta seseorang sasterawan. Kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya. Biasanya kepengarangan dapat menerangkan mengenai kekuatan, keistimewaan atau kelemahan seseorang pengarang. Kepengarangan dianalisis daripada aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang. Keperibadian merupakan kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Prinsip keperibadian merupakan klimaks dalam perjuangan seseorang pengarang, di mana ianya harus berusaha untuk membina teks yang unggul dan mencipta sifat keperibadian masing-masing.

Jelas sekali dalam Gurindam Dua Belas ini, Raja Ali Haji bijak dalam merancang dan menyusun kata sehingga menjadikannya sebagai salah satu gurindam yang baik. Gurindam ini merupakan gurindam yang mempunyai nilai kepengarangan yang sangat tinggi. Raja Ali Haji banyak mengetengahkan mengenai nilai keagamaan, unsur nasihat dan juga  pengajaran dalam menggarap penulisannya.

4.2 Estetika

Menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris et al. (2015:), estetika pula berkaitan dengan persoalan keindahan yang menjadi dasar kepada sesebuah karya sastera. Aspek estetika ini membicarakan unsur keindahan pembinaannya, bahasanya dan pengalaman keseronokan membacanya. Dalam seni sastera, apabila kita berbicara tentang keindahan, ia akan selalu merujuk kepada keindahan yang berkait rapat dengan kesan daripada pengalaman, perasaan, pemikiran, imaginasi dan wawasan. Keindahan ini juga terpancar daripada bahasa yang digunakan pengarang. Cara pengarang mencerna, mengadun dan mengolah karyanya juga menyerlahkan rasa keindahan. Unsur gaya bahasa juga sangat berkait rapat dengan bidang estetika kerana terdapatnya penggunaan gaya bahasa di dalam penghasilan sesuatu gurindam tersebut. Antara aspek gaya bahasa yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas yang dikaji ialah aliterasi, asonansi, anafora, rima, sinkof, simile, antitesis dan kata ganda.

4.2.1 Aliterasi

Menurut Nik Hassan Basri bin Nik Ab. Kadir (2005:26), aliterasi ialah sejenis gaya bahasa perulangan bunyi konsonan yang sama pada awal kata dan yang berurutan waima dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden sama ada kreatif atau bukan kreatif. Berdasarkan Gurindam Dua Belas yang dikaji, gaya bahasa aliterasi ini dapat dilihat pada setiap fasal dan juga rangkap yang terdapat di dalamnya. Sebagai contoh :
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
Daripada segala berat dan ringan.

 (Fasal 3, Rangkap 4)

Berdasarkan contoh di atas, pengulangan konsonan dapat dilihat pada pengulangan konsonan ‘g’. Pengulangan konsonan ‘g’ ini berlaku pada pertengahan kata dan yang berurutan dengannya. 


4.2.2 Asonansi

Menurut Nik Hassan Basri bin Nik Ab. Kadir (2005:30), asonansi ialah sejenis gaya bahasa perulangan bunyi vokal yang sama pada setiap baris atau pada setiap ayat yang biasanya secara berurutan supaya memperoleh kesan tertentu. Dalam bahasa Melayu, terdapat enam jenis bunyi vokal, tetapi bunyi-bunyi itu dalam penulisan hanya diwakili oleh lambang ‘a’, ‘e’, ‘i’, ‘o’ dan ‘u’, iaitu sebanyak lima bentuk huruf sahaja. Yang berikut ialah contoh gaya bahasa asonansi yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas,  karya Raja Ali Haji, iaitu :
Barang siapa tiada memegang agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama

(Fasal 1, Rangkap 1)

Berdasarkan contoh di atas, pengulangan vokal dapat dilihat pada pengulangan vokal ‘a’. Pengulangan konsonan ‘a’ ini berlaku pada awal kata, pertengahan kata dan yang berurutan dengannya. 

4.2.3 Anafora

Menurut Corbett dan Connors (1993:390) dalam Abu Hassan Abdul (2013:78), anafora ialah pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa yang berturutan. Pengulangan ini akan menghasilkan kesan emosi yang kuat. Berdasarkan Gurindam Dua Belas yang dikaji, gaya bahasa anafora ini dapat dilihat pada fasal dan juga rangkap yang terdapat di dalamnya. Sebagai contoh:

Barang siapa mengenal yang tersebut,
Tahulah ia makna takut.

Barang siapa meninggalkan sembahyang,
Seperti rumah tiada bertiang.

Barang siapa meninggalkan puasa,
Tidaklah mendapat dua termasa.

Barang siapa meninggalkan zakat,
Tiadalah hartanya beroleh berkat.

Barang siapa meninggalkan haji,
Tiadalah ia menyempurnakan janji.  

Berdasarkan contoh di atas, pengulangan perkataan yang sama ini dapat dilihat pada pengulangan perkataan ‘barang’. Pengulangan perkataan ‘barang’ ini berlaku pada permulaan setiap baris.  

4.2.4 Rima

Menurut Nik Hassan Basri bin Nik Ab. Kadir (2005:34), rima akhir ialah bunyi yang sama pada akhir atau kata akhir dalam sesuatu rangkap, iaitu yang terdapat dalam puisi seperti syair, gurindam, pantun atau rima ialah susunan bunyi atau keselarasan huruf pada akhir kata atau suku kata terakhir dalam sesuatu baris atau keselarasan huruf pada akhir kata atau suku kata terakhir dalam sesuatu baris atau serangkap puisi, misalnya aaaa, abab, abcabc, aabb, abba dan selainnya. Berdasarkan Gurindam Dua Belas yang dikaji, rima akhirnya ialah aa. Sebagai contoh:

Orang yang suka menampakkan jasa,
Setengah daripada syirik mengaku kuasa.

 (Fasal 8, Rangkap 5)

4.2.5 Sinkof

Menurut Nik Hassan Basri bin Nik Ab. Kadir (2005:27), sinkof  ialah sejenis gaya bahasa penyirnaan, iaitu pengguguran huruf sisip atau suku kata sisip perkataan atau dengan menghilangkan huruf tengah atau suku kata tengah bagi perkataan. Contohnya, dalam Gurindam Dua belas yang dikaji ini, unsur sinkop ini dapat dilihat seperti yang berikut :
Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan obat.

(Fasal 6, Rangkap 1)

Tahu pekerjaan tak baik, tetapi dikerjakan,
Bukannya manusia ia itulah syaitan.

(Fasal 9, Rangkap 1)

Berdasarkan contoh di atas, perkataan ‘mu’ membawa maksud ‘kamu’ dan perkataan “tak’ pula membawa maksud “tidak”.

4.2.6 Simile
Menurut Nik Hassan Basri bin Nik Ab. Kadir (2005:52), simile adalah sama ertinya dengan perumpamaan. Perkataan simile berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud ‘seperti’. Simile ialah perbandingan terus, iaitu membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan tetapi dengan sengaja kita menganggapnya sama. Perumpamaan ini secara jelas mengungkapkan sesuatu perbandingan atau persamaan dengan menggunakan kata “seperti”, “laksana”, “bagai”, “umpama”, “bak”, “sebagai”, “penaka”, ‘serupa”, “ibarat”, “macam” dan sebagainya. Dalam Gurindam Dua Belas yang dikaji, unsur simile ini dapat dilihat pada contoh di bawah :

Barang siapa meninggalkan sembahyang,
Seperti rumah tiada bertiang.

 (Fasal 2, Rangkap 2)

Barang siapa perkataan kotor,
Mulutnya itu umpama ketor.

(Fasal 4, Rangkap 9)

Raja mufakat dengan menteri,
Seperti kebun berpagarkan duri.

(Fasal 12, Rangkap 1)

4.2.7 Antitesis

Menurut Lanham (1968:12) dalam Abu Hassan Abdul (2013:78), antitesis adalah tindakan menggabungkan idea-idea yang bertentangan, manakala Umar Junus (1989:213) dalam Abu Hassan Abdul (2013:78), pula menjelaskan istilah antitesis merujuk kepada bentuk peletakan dua ayat atau kata yang bertentangan dalam kedudukan berdampingan. Berdasarkan Gurindam Dua Belas yang dikaji, antitesis ini dapat dilihat pada contoh yang berikut :

Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
Daripada segala berat dan ringan.

(Fasal 3, Rangkap 4)

Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,
Di situlah banyak orang yang tergelincir.

(Fasal 4, Rangkap 3)

Perkumpulan laki-laki dengan perempuan,
Di situlah syaitan punya jamuan.

(Fasal 9, Rangkap 5)

4.2.8 Kata Ganda

Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008:49), kata ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar, sama ada kata ganda tersebut diulangi secara keseluruhan atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan. Dalam Gurindam Dua Belas yang dikaji, kata ganda ini dapat dilihat wujud dalam gurindam tersebut. Buktinya, dapat dilihat pada contoh di bawah, iaitu :

Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.

 (Fasal 3, Rangkap 1)

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
Sangat memeliharakan yang sia-sia.

 (Fasal 5, Rangkap 2)

Kepada segala hamba-hamba raja,
Di situlah syaitan tempatnya manja.

 (Fasal 9, Rangkap 3)

Berdasarkan contoh di atas, kata ganda yang digunakan ini diulangi secara keseluruhan. Kata ‘cita’ digandakan menjadi ‘cita-cita’, kata ‘sia’ digandakan menjadi ‘sia-sia’ dan kata ‘hamba’ digandakan menjadi ‘hamba-hamba’. Keseluruhannya, aspek estetika dan kepengarangan ini telah membuatkan Gurindam Dua Belas menjadi sebuah karya yang mempunyai nilai dan perjalanannya yang tersendiri.

4.2.9 Penggunaan Kata Klasik

Dalam Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji ini terdapatnya penggunaan bahasa klasik. Penggunaan bahasa Melayu klasik ini dapat dikesan melalui sistem fonologi dan perkataan yang digunakan. Penggunaan bahasa Melayu klasik terdapat dalam gurindam ini disebabkan oleh latar dan masa penulisannya pada sekitar 1846-1847. Contohnya dapat dilihat pada perkataan ‘cahari’ di bawah :

Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan obat.

 (Fasal 6, Rangkap 1)


5.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji ini adalah merupakan sebuah naskhah yang sangat mempunyai nilai kebaikan dan pengajaran. Gurindam ini dinamakan sebagai Gurindam Dua Belas disebabkan terdapatnya dua belas fasal di dalam gurindam ini. Kumpulan Gurindam ini merupakan salah satu bentuk syair Raja Haji Ali yang banyak menggariskan tentang tuntutan moral dan nilai keagamaan kepada setiap masyarakat tanpa meninggalkan unsur keindahan sesebuah karya sastera itu sendiri. Gurindam Dua Belas memberikan himbauan dan nasihat tentang ibadah, kewajiban raja, kewajiban anak, kewajiban orang tua, budi pekerti, dan hidup bermasyarakat yang dapat dijadikan pedoman hidup setiap orang. Jelas sekali, gurindam ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri berdasarkan pengkajian terhadap aspek falsafah dan pemikiran serta aspek kepengarangan dan estetika. 

Gurindam Dua Belas ini telah dimasukkan ke dalam sukatan pelajar Bahasa Melayu dalam aspek komsas pelajar menengah atas bagi membolehkan pelajar mengkaji gurindam ini serta mempraktikkan nilai-nilai yang terdapat di dalamnya. Walaupun di tulis sekitar 1846-1847, karya ini masih mengekalkan kedalaman makna, keindahan bunyi serta kandungan isinya yang masih relevan hingga ke hari ini. Oleh itu, hasil karya sastera Melayu sebegini haruslah dijaga dengan baik dan diperturunkan kepada generasi akan datang.




No comments:

Post a Comment