HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA


1.0       Pengenalan


Berdasarkan Siti Hawa Haji Salleh (1989) dalam Sastera Rakyat Kedah yang diperoleh pada Mac 23, 2015 daripada  http://sasterarakyat-kedah.com/?cat=5  menjelaskan bahawa Hikayat Merong Mahawangsa (HMM), yang menerangkan asal usul raja-raja Kedah berdasarkan mitos dan lagenda, menjadi ahli genre sastera sejarah tradisional Melayu. Jika dilihat, pelbagai lagi karya atau pun hikayat yang ditulis sebenarnya menceritakan tentang asal usul raja – raja pada zaman tersebut. Namun demikian, ianya membawakan konsep berbeza dan tempat yang berbeza, persamaannya hanyalah pada penceritaan dan watak yang disampaikan dalam hikayat tersebut. Cerita atau hikayat dahulu kala sulungnya banyak menjelaskan tentang adat istiadat, tradisi, kerajaan dan kehidupan rakyat masa dahulu yang membawa sebuah mesej penting hingga ke hari ini. Umum mengetahui bahawa sastera atau karya penulisan zaman dahulu ini dijadikan sebagai suatu petanda, atau aras di mana munculnya sebuah tamadun atau kerajaan sedari zaman lampau lagi. Karya sastera menjadi pegangan dan menjadi amalan masyarakat bagi memandu kehidupan mereka pada masa tersebut.

            Siti Hawa Haji Salleh (2013) dalam Sinopsis Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) yang diperoleh pada Mac 23, 2015 daripada http://www.mykedah2.com/10heritage/111_3.html#top menjelaskan bahawa hikayat ini dikarang selepas ketibaan Islam dan pengarang banyak memberi perhatian kepada peristiwa-peristiwa tertentu yang menyerlahkan asal-usul rajanya, pertalian dengan Siam yang menceritakan mengikut kebijaksanaan pengarang untuk menjaga kedaulatan raja dan negerinya, kisah kedatangan Islam yang sengaja dikemukakan berbeza dengan kedatangan Islam ke Pasai dalam Hikayat Raja Pasai dan kedatangan Islam ke Melaka dalam Sulalat al Salatin (Sejarah Melayu) dan lain-lain peristiwa. Ini membuktikan bahawa hikayat ini dikarang secara sedar oleh pengarangnya dengan tujuan mengagungkan kedaulatan raja dan negerinya.

            Berdasarkan Siti Hawa Haji Salleh (1989) dalam Sastera Rakyat Kedah yang diperoleh pada Mac 23, 2015 daripada http://sasterarakyat-kedah.com/?cat=5 hikayat ini juga berguna dalam menepis dakwaan Siam bahawa raja Kedah tidak berhak menyerahkan Pulau Pinang kepada Inggeris pada tahun 1786. Oleh itu, seperti hasil-hasil sastera sejarah Melayu tradisional yang lain, HMM adalah penggemblengan unsur-unsur realiti dan mitos yang digunakan untuk menegakkan kedaulatan raja-raja Kedah dan keturunannya.

            Antara hikayat atau karya sastera terkenal setanding HMM dalam keluarga sastera sejarah ini terdapatlah Hikayat Raja Pasai, Hikayat Acheh, Hikayat Palembang, Sejarah Raja-Raja Riau, Hikayat Bangkahulu, Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Johor, Misa Melayu, Hikayat Banjar, Hikayat Kotawaringin, Salsilah Kutai, dan Hikayat Siak.  Secara keseluruhannya, HMM dikatakan ditulis bagi menjelaskan tentang pendokumentasian kuasa raja Kedah pada ketika itu ke atas negeri dan kawasan jajahannya.


1.1   Rungkaian Pensejarahan Melayu Tradisional dalam HMM

Pelbagai unsur mitos yang berasal daripada pengaruh Hindu dan juga setempat dapat dilihat dalam hikayat atau karya lama seperti HMM ini. Jelas sekali pengaruh agama itu kuat dan membentuk sebuah pegangan teguh dalam sesebuah karya sastera dahulu kala sebelum kedatangan agama Islam. Burung geroda, binatang mitis hindu kenderaan Visynu dipertentangkan dengan kuasa Allah menerusi Nabi Allah Sulaiman adalah antara unsur mitos yang diceriterakan dalam HMM ini, kepercayaan Hindu yang lebih kepada animism ini dikatakan mampu mewujudkan sebuah gambaran sebenar berkenaan kehidupan asal masyarakat dahulu dan pegangan serta amalan mereka pada ketika itu.

Perhubungan antara negeri Kedah dengan Siam juga dinyatakan dalam karya ini. Demikian juga ianya menjadi salah satu asas utama dalam hikayat ini dan bagaimana Siam dikatakan mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Kedah dan menuntut Kedah memberikan bunga emas dan perak kepada Siam tanda perhubungan serta kedua – dua negeri tersebut. Perhubungan antara negeri Kedah dengan Siam adalah berasaskan ikatan kekeluargaan antara adinda bongsu dengan kekanda sulung. Permaisuri Raja Bersiong dengan mudahnya pada ketika itu bersama dengan  menteri keempat meminta bantuan dari Siam ketika menghadapi masalah mencari orang yang sesuai untuk dijadikan raja, menggantikan Raja Bersiong.

Penggunaan unsur mitos seperti gajah sakti dilihat menjadi salah satu perantara antara Raja Siam dengan ahli nujum bagi mencari jalan penyelesaiannya. Sekali lagi pegangan masyarakat pada ketika itu dimartabatkan secara langsung dengan meletakkan kepercayaan animism dalam mencari pengganti kepada Raja Bersiong. Kedatangan Islam pada waktu itu ke negeri Kedah menjadikan proses perubahan dan penyesuaian pegangan hidup dari amalan menyembah berhala kepada memeluk agama Islam dan berpegang kepada ajaran Islam.

1.2       Sinopsis Hikayat Merong Mahawangsa (HMM)

Berdasarkan ringkasan cerita daripada Siti Hawa Haji Salleh (1989) dalam Sastera Rakyat Kedah yang diperoleh pada Mac 23, 2015 daripada http://sasterarakyat-kedah.com/?cat=5 angkatan Raja Merong Mahawangsa yang sedang belayar dari Rom ke negeri China telah diserang oleh geroda. Ia membuka negeri Langkasuka dan diangkat menjadi raja. Ia pulang ke Rom setelah menabalkan puteranya Raja Merong Mahapudisat menjadi raja. Langkasuka ditukar namanya ke Kedah Zamin Turan.

Berpandukan nasihat yang diberikan oleh ayahandanya, Raja Merong Mahapudisat merajakan putera sulungnya menjadi Raja Siam, putera tengah sebagai Raja Perak dan anakandanya yang ketiga, seorang puteri, sebagai Raja Patani. Putera yang bongsu menggantikan ayahanda mereka sebagai Raja Kedah dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa. Raja inilah yang memulakan tradisi menghantar persembahan bunga mas dan bunga perak sebagai hadiah kepada kekandanya, Raja Siam, setiap kali kekandanya mendapat putera.

Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah kecewa dengan puteranya yang tidak menurut perintah dan digantikan oleh putera itu dengan gelaran Raja Seri Maha Inderawangsa. Seterusnya putera Raja Seri Maha Inderawangsa menjadi raja dengan gelaran Raja Ong Maha Perita Deria yang lebih terkenal dalam sejarah negeri Kedah sebagai Raja Bersiong. Apabila Raja Bersiong turun dari takhta setelah ditentang kerana kezalimannya, puteranya ditabalkan sebagai Raja Phra Ong Mahapudisat. Raja ini digantikan oleh puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa yang kemudiannya menjadi raja Kedah yang pertama memeluk agama Islam. Syeikh Abdullah Yamani menukarkan namanya kepaga Sultan Muzaffar Syah.

2.0       Ciri-ciri Khusus

Berdasarkan HMM ini, beberapa ciri-ciri khusus yang ada pada karya tersebut telah dikaji, meliputi aspek isi dan mesej yang ingin disampaikan, nilai budaya, pandangan hidup, nilai ilmu, teknik kepengarangan dan seni bahasa.

2.1       Isi dan Mesej yang Ingin Disampaikan

Isi dan mesej merupakan perkara utama yang ingin disampaikan di dalam sesebuah karya. Di dalam HMM terdapat beberapa mesej penting yang ingin di sampaikan, antaranya ialah :

2.1.1    Asal-usul Keturunan Raja

Dalam HMM ini, asal-usul keturunan raja itu digambarkan secara jelas. Asal-usul keturunan raja ini bukan sahaja dinyatakan sebagai keturunan yang wujud atas perkahwinan antara manusia sesama manusia sahaja malahan ada perkahwinan antara manusia dan gergasi, manusia serta dewa serta perkahwinan antara dewa dan indera. Selain itu, ada juga raja yang lahir tanpa asal-usul yang jelas.

Dalam hikayat ini, diceritakan asal-usul keturunan raja Kedah bermula daripada Raja Merong Mahawangsa. Diceritakan juga dalam hikayat ini, ayahanda kepada Merong Mahawangsa berasal daripada golongan indera-indera manakala bondanya berasal daripada golongan dewa-dewa. Raja Merong Mahawangsa juga digambarkan sebagai seorang raja dan pahlawan yang sangat hebat melalui pemilikan kuasa sakti serta keperbadiannya yang hebat. Kehebatan inilah yang membuatkan wujudnya negeri yang bernama Kedah Zamin Tauran. Antara peristiwa yang berlaku sehingga menyebabkan wujudnya negeri Kedah ialah peristiwa serangan burung garuda terhadap rombongan Raja Merong Mahawangsa, anak Raja Rum dan pengikutnya ke benua negeri China sehingga akhirnya Raja Merong Mahawangsa terjumpa satu tempat yang baik setelah kegagalan mencari anak Raja Rum yang hilang akibat serangan hebat burung garuda itu.

Seterusnya, asal usul raja-raja ini juga ada yang telah bercampur dengan darah manusia kebanyakan dan golongan selain daripada manusia. Sebagai contoh, Raja Seri Maha Inderawangsa telah berkahwin dengan cucu kepada Nang Miri Gergasi. Namun, perkahwinan ini tidak direstui oleh ayahandanya Raja Seri Mahawangsa. Atas kedegilan Raja Seri Maha Inderawangsa akhirnya berkahwin juga dengan cucu kepada Nang Miri Gergasi yang berbangsa gergasi itu. Akibat terlalu kecewa, Raja Seri Mahawangsa akhirnya jatuh sakit dan mangkat. Contoh perkahwinan antara raja dan rakyat kebanyakan boleh dilihat melalui perkahwinan antara Raja Bersiong dan anak pengusaha padi huma sewaktu melarikan diri akibat penentangan para menteri dan rakyat Kedah terhadap kekejamannya. Hasil perkahwinan ini, mereka telah dianugerahkan anak yang bernama Raja Pra’ Ong Mahaputisat.

Selain itu, dalam hikayat ini juga diceritakan asal usul raja-raja lain yang bukan berketurunan Raja Merong Mahawangsa seperti Raja Buluh Betung dan Puteri Seluang. Peristiwa lahirnya Putera Buluh Betung bermula apabila  Raja Pra’ Ong Mahapudisat ketika memburu telah ternampak seperdu buluh lalu diarahkan pengikutnya untuk mengerat seruas buluh itu untuk dibawa pulang. Buluh ini diletakkan tidak jauh dari tempat peraduan baginda akhirnya makin membesar. Pada suatu hari, buluh betung itu pecah dan lahirlah seorang putera yang akhirnya dinamakan Putera Buluh Betung. Manakala Puteri Seluang pula dijumpai oleh Raja Perempuan iaitu isteri kepada Raja Bersiong sewaktu bah besar melanda. Dilihatnya seorang budak perempuan yang dihanyutkan bah dari hilir sungai Kuala Muda. Seterusnya, Raja Perempuan menamakan budak perempuan itu dengan nama Puteri Seluang. (107) Raja Pra’ Ong Mahaputisat lalu sangat sayang akan Puteri seluang lalu dikenakan pakaian raja-raja dan bertambahlah kecantikan Puteri Seluang sehari ke sehari.  

2.1.2    Penubuhan Kerajaan dan Pembukaan Negeri

Kisah pembukaan sesuatu kawasan sememangnya melatari HMM daripada awal bab sehinggalah bab yang terakhir. Hal ini, terjadi kerana wujudnya peristiwa pengembaraan, meluaskan kuasa jajahan serta usaha memajukan kawasan yang terbiar tanpa penghuni dan kemajuan.

Pada awalnya dalam hikayat ini telah diceritakan tentang penubuhan Kerajaan Langkasuka yang dibina oleh Raja Merong Mahawangsa dan pengikut-pengikutnya. Kisah pembentukan Kerajaan Langkasuka ini bermula apabila ke semua kapal yang dinaiki oleh rombongan Raja Merong Mahawangsa, Anak Raja Rum dan pengikut-pengikutnya ke benua China telah dihancuri oleh burung garuda. Sehinggalah anak Raja Rum hilang dan tidak dapat dikesan walaupun telah dicari beberapa hari lamanya. Pada suatu hari setelah tidak berjaya menjumpai anak Raja Rum, Raja Merong Mahawangsa dan beberapa pengikutnya yang terselamat telah menuju ke dataran tanah besar sehinggalah mereka telah sampai ke tanjung sebuah pulau. Tempat itu dihuni kaum gergasi yang berbadan besar. Oleh sebab, Raja Merong Mahawangsa menegur kaum gergasi itu secara baik bagi mengambil hati mereka, mereka menjadi takut pada hebatnya sikap Raja Merong Mahawangsa. Memandangkan tempat ini tidak beraja, maka kaum gergasi telah menawarkan kepada Raja Merong Mahawangsa untuk menjadi raja dan mencari tempat untuk didiami. Setelah dibina kota, maka para menteri hulubalangpun membina penempatan. Akhirnya tempat itu dinamakan Langkasuka. Selepas itu, ramai orang yang datang untuk menjadi rakyat di bawah naungan Raja Merong Mahawangsa.

Seterusnya, dinyatakan kisah permulaan Negeri Kedah. Negeri Kedah Zamin Tauran ialah nama yang telah diberikan Merong Mahawangsa kepada negeri yang diperintahnya setelah baginda merajakan anakandanya iaitu Raja Merong Mahapudisat di negeri tersebut. Raja Merong Mahawangsa juga telah memerintahkan sekiranya Raja Merong Mahapudisat memperoleh anak, maka baginda perlulah merajakan setiap anaknya di setiap bahagian dalam negeri Kedah ini iaitu sebelah selatan utara barat-laut, sebelah selatan tenggara dan sebelah matahari naik antara timur-laut.

Selain itu, dalam Hikayat ini diceritakan juga banyak kawasan-kawasan baharu yang dibuka untuk diurus tadbir terutamanya oleh putera-putera raja yang baharu. Antara kawasan-kawasan tersebut seperti Kota Palas, Kota Aur dan sebagainya.

2.1.3    Salasilah Raja-Raja

Dalam HMM, diceritakan salasilah raja-raja negeri Kedah mulai yang pertama hingga akhir. Bermula dengan raja Merong Mahawangsa sewaktu mula mewujudkan kerajaan Langkasuka, baginda telah berkahwin maka beroleh seorang putera benama Raja Merong Mahapudisat. Di pengakhiran pemerintahannya, baginda telah menamakan negeri yang bakal diberikan kepada anaknya sebagai negeri Kedah Zamin Tauran. Dan Raja Merong Mahawangsa pulang ke negeri Rum.

Raja Merong Mahapudisat pula telah dirajakan di negeri Kedah. Raja Merong Mahapudisat telah dikahwinkan dengan seorang anak raja perempuan. Dengan perkahwinan ini, mereka dikurniakan dengan tiga orang putera dan seorang puteri. Tiga orang daripada anaknya setelah dewasa telah dirajakan ke tempat-tempat yang disebut-sebut oleh Raja Merong Mahawangsa yang juga dikenali sebagai Siam Lancahang, negeri Perak dan Petani manakala puteranya seorang lagi iaitu Raja Seri Mahawangsa dirajakan di negeri Kedah.

Setelah Raja Merong Mahapudisat telah mangkat, barulah Raja Seri Mahawangsa memerintah negeri Kedah. Raja Seri Mahawangsa telah memperoleh seorang putera dan seorang putera hasil perkahwinan dengan anak raja perempuan. Seorang puteranya yang bernama Raja Seri Maha Inderawangsa telah berniat untuk mengahwini cucu kepada Nang Miri Gergasi, namun tidak direstuinya. Atas kedegilan Raja Seri Maha Inderawangsa, maka berkahwin juga baginda dengan perempuan berbangsa gergasi itu yang membuatkan Raja Seri Mahawangsa terlalu kecewa sehingga sakit dan akhirnya mangkat. Hasil perkahwinan, mereka telah dikurniakan seorang putera lelaki iaitu Raja Ong Maha Perita Daria. Atas sebab kedah ketiadaan raja, maka Raja Seri Inderawangsa meneruskan pemerintahan di negeri Kedah.

Suatu hari, Raja Seri Maha Inderawangsa pun mangkat. Atas sebab itu, Raja Ong Perita Daria memerintah negeri Kedah. Baginda juga dikenali sebagai Raja Bersiong berikutan peristiwa tumbuhnya gigi siongnya. Baginda melaksanakan pemerintahan tidak adil. Pada suatu hari, baginda telah memakan makanan yang terdapat darah tukang masak baginda dan masakan itu dirasakannya makin lazat. Justeru, baginda menjadi ketagih hingga dibunuh ramai orang untuk diminum darah dan dimakan hati mereka. Hal ini, telah mendapat tentangan daripada rakyat dan para menteri sehinggakan Raja Bersiong terpaksa melarikan diri ke hutan. Di situlah, baginda mula berhubungan dengan seorang perempuan anak orang huma. Maka, lahirlah seorang putera. Setelah itu, diketahui pula oleh menteri tentang keberadaan Raja Bersiong, maka Raja Bersiong berlarilah ke hutan buluh dan terus hilang.

Sementara negeri Kedah tidak beraja, maka Menteri Keempat pun mengutuskan surat kepada raja di Benua Siam bagi memohon untuk dihantar raja bagi memerintah negeri Kedah. Namun, hasil tilikan membuatkan raja benua Siam menghantar gajah Gemala Johari untuk mencari raja yang sepatutnya beraja di negeri Kedah. Justeru, terjumpalah anak Raja Bersiong bersama anak orang huma dan diambilnya ke istana. Lalu, diberikan nama putera tersebut Raja Pra’ Ong Mahaputisat dan ditabal sebagai raja negeri Kedah yang baharu.

Raja Pra’ Ong Mahaputisat telah dikahwinkan dengan anak menteri tua keempat. Dalam jangka masa yang panjang tidak juga mereka mendapat zuriat sehinggakan dilakukan doa nazar. Tidak beberapa lama selepas itu, maka hamillah dan lahir seorang putera yang diberi nama Raja Pra’ Ong Mahawangsa. Terdapat juga peristiwa ganjil yang berlaku sehingga lahirnya Putera Buluh Betung dan Puteri Seluang. Akibat kematian Raja Perempuan, maka Raja Pra Ong Mahaputisat bersedih dan ditabal pula puteranya Raja Pra’ Ong Mahawangsa sebagai raja Kedah. Tidak beberapa lama kemudian, Raja Pra’ Ong Mahaputisatpun sakit lalu mangkat.

Memerintahlah Raja Pra’ Ong Mahaputisat di negeri Kedah. Walaupun begitu, baginta teramat gemar meminum arak. Sehingga suatu masa, baginda diberi hidayah melalui Sheikh Abdullah. Baginda akhirnya berubah dan memeluk Islam. Nama baginda juga ditukarkan kepada Sultan Mudzalfal Shah. Hasil perkahwinan baginda bersama seorang anak raja perempuan, mereka dikurniakan tiga orang putera yang diberi nama Raja Mu’adzam Shah, Raja Mahmud Shah dan Raja Sulaiman Shah. Sementara Sultan Mudzalfal Shah ingin menumpukan hal berkaitan amalnya kepada Allah S.W.T. maka diserahkan tugasnya kepada anakandanya Raja Mu’adzam Shah untuk memerintah Kedah.
           

Rajah 1.0 : Salasilah raja negeri Kedah

2.1.4    Proses Pengislaman Raja dan Seluruh Negeri

Kisah pengislaman raja dan seluruh negeri ini mula diceritakan dalam bab terakhir dalam HMM dengan subtajuk raja dan ra’ayat Kedah memeluk agama Islam. Kisah pengislaman yang berlaku di Kedah ini bermula apabila Syeikh Abdullah mengembara bersama penghulu iblis. Pengembaraan ini dilakukan kerana Sheikh Abdullah ingin bergurukan penghulu iblis. Syeikh Abdullah telah diberikan tongkat sakti sehingga dia tidak boleh dilihat oleh manusia lain. Penghulu iblis telah menunjukkan pekerjaannya dengan menipu daya manusia yang tidak mempunyai pegangan agama yang kuat dan Syeikh Abdullah ditegah untuk menegur setiap perbuatan penghulu iblis itu. Dari satu tempat ke tempat yang lain, penghulu iblis memperdaya manusia sehinggakan ramai orang yang mati.

Suatu masa, dibawa pula Sheikh Abdullah oleh penghulu iblis ke istana Raja Pra’ Ong Mahawangsa untuk menghasut baginda melakukan kejahatan. Sikap baginda yang suka memimun arak membuatkan baginda akan meminta untuk disediakan arak setiap masa. Ketika Sheikh Abdullah dan penghulu iblis berada di balik kelambu, Raja Pra Ong Mahawangsa telah meminta untuk disediakan arak, maka raja iblis telah kencing ke dalam cawan araknya. Maka, Sheikh Abdullah tidak berpuas hati terhadap tindakan penghulu iblis itu. Lantas, Penghulu iblis menjadi marah dan mengambil tongkat saktinya semula. Justeru, Sheikh Abdullah pun boleh dilihat oleh Raja Pra’ Ong Mahawangsa. Lalu, Sheikh Abdullah menceritakan segala peristiwa yang berlaku sepanjang pengembaraannya bersama penghulu iblis kepada Raja Pra’ Ong Mahawangsa termasuklah arak yang diminum oleh baginda adalah air kencing penghulu iblis. Allah S.W.T. telah memberikan hidayah kepada baginda dan Sheikh Abdullah telah mengajar baginda untuk mengucapkan dua kalimah Shahadah.

Kemudiannya, nama Raja Pra’ Ong Mahawangsa telah ditukarkan kepada Sultan Mudzalfal Shah. Nama putera-putera yang lahir selepas itu juga diilhamkan daripada ayat-ayat al-Quran. Setiap berhala di dalam istana dimusnahkan. Rakyat negeri Kedah juga diislamkan seorang demi seorang baik pemimpin mahupun rakyat kebanyakan. Sheikh Abdullah telah menjadi guru agama dengan memberi tunjuk ajar tentang agama Islam serta menjadi guru mengaji al-Quran. Negeri Kedah juga mengamalkan hukum-hukum Allah. Selain itu, banyak masjid dibina bagi memudahkan rakyat beribadat. Demikianlah permulaan dan perkembangan Islam di negeri Kedah.


2.2       Nilai Budaya
Kajian berkaitan nilai budaya ini dibuat berdasarkan buku HMM  yang ditulis oleh Siti Hawa Haji Salleh (1991). Buku ini juga banyak menceritakan tentang nilai budaya masyarakat Melayu yang berasal daripada Kedah. Selain itu, setiap penulisan sejarah tradisional Melayu jelas menggambarkan cara hidup dan pemikiran masyarakat Melayu. Dalam HMM ini, banyak memperkatakan tentang nilai budaya Melayu yang tinggi yang ingin disampaikan kepada pembaca agar pembaca dapat mencontohi nilai tersebut.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1081), nilai adalah taksiran harga, harga sesuatu yang dibandingkan dengan harga yang lain, kadar nisbah, sifat ketinggian dan darjat, mutu, serta taraf. Ini bermakna, nilai adalah ukuran kepada sesuatu seperti sifat keperibadian dan sebagainya yang ada pada individu.

Manakala menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris, Abdul Rahman Napiah, dan Seri Lanang Hj. Rohani (2015: 125), mendefinisikan budaya daripada perkataan Sanskrit iaitu duddayah yang merupakan perkataan jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal. Secara umumnya, budaya bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia. Dalam bahasa Inggeris pula budaya disebut sebagai culture yang berasal daripada perkataan Latin iaitu colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan.

Di samping itu, budaya juga merupakan elemen yang penting bagi membezakan manusia dengan hidupan lain. Budaya biasanya dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti yang ada dalam persekitaran manusia seperti kesenian, barangan, makanan, tarian dan sebagainya. Kehidupan sesuatu masyarakat seperti amalan, perilaku, dan tindak tanduk bergantung kepada kebudayaan yang diamalkan. Segala sesuatu yang terdapat dalam sesebuah masyarakat mempunyai hubung kait atau boleh ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki masyarakat itu sendiri. Fahaman ini dikenali dalam kalangan ahli antropologi sebagai fahaman determinism atau penentuan budaya. Selain itu, budaya juga adalah sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi seterusnya dan konsep ini disebut sebagai organik lampau.

Terdapat beberapa nilai budaya yang terkandung dan dapat dikenal pasti dalam HMM seperti taat kepada perintah raja, menghormati ibu bapa, berpegang teguh kepada adat resam, memuliakan yang tua, belas kasihan, Islam, Hindu, dan adat perkahwinan. Antara nilai budaya dan contoh yang terdapat dalam HMM iaitu:


             2.2.1    Nilai Budaya Taat Kepada Perintah Raja  

Raja atau pemerintah mempunyai konsep daulat iaitu rakyat terpaksa menuruti segala perintah raja selagi tidak bercanggah dengan hukum syara’. Oleh yang demikian menghormati raja dan pemimpin merupakan perilaku atau perkara yang sudah diamalkan sejak dahulu lagi sehinggalah sekarang. Sehinggakan, sesiapa yang ingkar akan perintah raja akan dikenakan tulah iaitu kehidupan mereka akan sengsara atau mendapat nasib yang buruk. 



                                i.            “Demi didengar oleh sekaliannya titah Raja Merong Mahawangsa yang demikian itu, maka sekalian itupun mengerahkan sekalian orangnya suruh beringat-ingat serta memegang senjata masing2 tangan.” (HMM: 6)

                          

Raja Merong Mahawangsa telah menerima tugas yang diberikan oleh raja Rom dengan senang hati. Arahan yang diberikan oleh raja Rom agar Raja Merong Mahawangsa pergi ke Benua China untuk menggantikannya dan menyampaikan hasratnya untuk mengahwinankan anakandanya dengan puteri raja Benua China. Hal ini menunjukkan bahawa, sikap Raja Merong Mahawangsa yang menerima tugas yang diberikan membuktikan bahawa beliau merupakan seorang yang taat kepada raja dan pemimpin.

            2.2.2    Nilai Budaya Menghormati Orang Tua

            Nilai budaya masyarakat Melayu dahulu juga sentiasa menghormati orang tua. Peristiwa di bawah menunjukkan bahawa walaupun anak raja Rom dalam keadaan sakit setelah bahteranya dimusnahkan oleh burung geroda, beliau masih lagi mampu mengucapkan kata-kata yang lemah lembut dan bersopan kepada Mak Inang. Malahan beliau membahasakan ibu kepada Mak Inang.            



                                i.            “Maka sahut anak raja Rom itu dengan perlahan-lahan, “Hai ibuku, bahawa dengan sesungguhnya beta ini manusia juga. Betalah anak raja Rom, hendak pergi kahwin dengan puteri anak raja Benua China dengan beberapa buah bahtera…” (HMM : 14)


 2.2.3    Nilai Budaya Bersifat Belas Kasihan

         Tambahan lagi, nilai budaya masyarakat Melayu yang tinggi dari segi berbudi pekerti mulia juga sentiasa mengutamakan perasaan orang lain dalam pelbagai keadaan yakni tidak bersikap mementingkan diri sendiri.



                                i.            “Maka mak inang tuan puteri itu pun terlalulah belas kasihan hatinya mendengarkan hal anak raja Rom itu lalu ia pun kembali pada tuan puteri persembahkan hal itu sekalianya dengan suka tertawanya.” (HMM : 14)


                        Dapat dilihat bahawa Mak Inang dan Tuan Puteri mempunyai sifat belas kasihan dan untuk menolong anak raja Rom yang berada di dalam kesusahan. Walaupun pada mulanya, mereka tidak mengenali anak raja Rom tersebut, namun mereka tetap menolongnya.

            2.2.4    Nilai Budaya Berpegang Teguh kepada Adat Resam

            Masyarakat Melayu berpegang teguh kepada adat tradisi seperti dilihat dalam amalan hidup seharian. Orang Melayu amat menjaga adat resam termasuklah pantang-larang dan adat istiadat yang diwarisi dan diamalkan sejak turun-temurun.



                                i.            “setelah sudah dibaca surat itu lalu sama duduk sekaliannya itu berjabat tangan. Maka raja China pun menyorong puannya sirih persantapan pada Raja Jin Harman Syah, katanya, “Makanlah sirih hai saudaraku Raja Harman Syah,”serta menyuruh keluar ia itu.” (HMM :  23)


                                
Sirih dan pinang berperanan penting dalam upacara, adat resam dan budaya semasa, masyarakat Melayu etika itu. Dalam petikan di atas adat makan sirih digunakan ketika menyambut tetamu.

            2.2.5    Nilai Budaya Menghormati Ibu Bapa

Nilai ini dituntut dalam Islam kerana kedudukan, martabat dan kemuliaan ibu bapa sangat istimewa serta tinggi sekali sehinggakan ibu bapa adalah yang kedua perlu dihormati selepas yang Maha Pencipta. Raja Merong Mahapudisat digambarkan sebagai seorang yang taat kepada perintah ayahnya, Raja Merong Mahawangsa meminta persetujuan ayahnya untuk menempatkan anak-anaknya di beberapa buah tempat supaya dapat mendirikan kerajaan baru.



                                i.            “Setelah didengar oleh Raja Merong Mahapudisat sembah menteri itu, lalu ia bertitah kepada menterinya, “Jikalau demikian hendaklah saudara kerahkan segala kaum gergasi himpun sekaliannya dan panggil … , kita beri ia pergi bersama-sama anak kita…” (HMM :  37)


Raja Merong Mahapudisat segera menitahkan pembesarnya untuk menyediakan keperluan serta askar pengiring untuk anakandanya berhijrah ke tempat lain bagi membuka penempatan baru. Raja Merong Mahapudisat dilihat sebagai seorang yang sangat taat kepada perintah ayahandanya. Beliau segera melakukan suruhan ayahandanya setelah diingatkan oleh pembesarnya.

            2.2.6    Nilai Budaya Islam

Nilai budaya Islam juga diterapkan oleh pengarang di dalam HMM. Perkara ini dapat dilihat melalui peristiwa pengislaman Sultan Kedah. Contohnya seperti di bawah yang menunjukkan Sheikh Abdullah memberitahu perkara yang perlu dilakukan sebagai seorang hamba yang beragama Islam.



                                i.            “Maka berhenti tanda berhimpun segala anak mukim hendak sembahyang Jumaat kepada masjid itu, kadar kedengaran bunyi dendang raya. Itulah tuanku, yang bernama tiang agama pada syariat Nabi Muhammad Rasulullah pada segala kaum umatnya yang mahu menurut kitab Quran serta Sabdanya itu, supaya termasyhurlah nama raja menteri di dalam negeri itu mengerjakan amal ibadat akan Allah subahanahu wa taala, adalah sudah dengan tempatnya rumah akan ganti Ka’batu’Llah di negeri Mekah Madinah.” (HMM : 103)

                        

            2.2.7    Nilai Budaya Hindu

HMM juga mempunyai kepercayaan kepada budaya Hindu. Kelihatan sangat jelas pada awal karya ditulis iaitu sebelum kedatangan Islam, kebanyakan nama yang digunakan berasal daripada perkataan Hindu. Selain itu, perkataan dewa-dewa turut dikenal pasti seperti contoh yang dikemukakan.



                                i.            “Maka sembah seorang menteri daripada dewa-dewa, ‘Ada, tuanku, kepada dataran tanah besar sebelah Pulau Seri namanya, ia membuat negeri serta hendak menanti ambil kalau-kalau ada duli tuanku hidup.”(HMM :  21)

                           

             2.2.8    Nilai Budaya Melalui Adat Perkahwinan

Adat perkahwinan ditunjukkan secara langsung dalam HMM yang dikaji. Adat perkahwinan yang dilaksanakan semasa perkahwinan Raja Merong Mahadipusat. Persiapan perkahwinan yang dilaksanakan seawal 40 hari 40 malam. Turut dimeriahkan dengan bunyi-bunyian, hidangan makanan dan disambut dengan penuh meriah oleh segala menteri, hulu balang dan orang ramai. Hal ini menunjukkan bahawa adat perkahwinan yang dilaksanakan tersangat meriah dan dilaksanakan secara besar-besaran.



                                i.            “Maka Raja Merong Mahawangsa pun berangkatlah masuk ke istana diiringkan oleh anakanda baginda itu serta menyuruh memulai kerja berjaga-jaga mengerjakan anakanda baginda itu, dengan makan minum dan bersuka-sukaan dengan beberapa banyak perburuan yang disembelih jadi tambul orang berjaga-jaga itu, serta dengan segala permainan daripada gong, gendang, serunai, nafiri, harbab, kecapi, dandi, muri, kopak, ceracap, serdam, bangsi, nahara, menjadi empat puluh hari empat puluh malam yang berjaga makan minum dengan segala menteri, hulu balang, para penggawa sekalian, terlalulah ramainya. Setelah genaplah empat puluh hari, maka pada hari yang baik dan saat yang sejahtera, pada ketika itulah dikahwinkan anakanda baginda itu dengan seorang anak raja perempuan, serta direncanakan gelarnya bernama Raja Merong Mahapudisat, serta diambil segala anak menteri yang ada sedia ibu bapanya yang tua-tua duduk bersama-sama dengan ayahanda baginda Raja Merong Mahawangsa itulah jadi ganti ibu bapanya jadi menteri, hulubalang, para pengawanya.”(HMM :  29-30)


            2.3       Pandangan Hidup

Maksud pandangan hidup secara umum menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris, Abd, Rahman Napiah, dan Seri Lanang Hj. Rohani (2015: 126) ialah satu konsep mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai tertentu. Manakala pandangan hidup daripada perspektif Islam pula menurut Syed Naquib al-Attas (1972) dalam Mohd. Rashid Hj. Md. Idris, Abd, Rahman Napiah, dan Seri Lanang Hj. Rohani (2015: 125), ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam. Setiap masyarakat selalu memiliki pandangan hidup tersebut, begitu juga dengan masyarakat Melayu.

Terdapat beberapa pandangan hidup yang dikenal pasti dalam hikayat yang dikaji iaitu menghormati autoriti, percaya pada takdir, berpegang pada janji, menganggungkan dan mempercayai kekuasaan Tuhan, mengambil keputusan daripada tindakan yang difikirkan, sentiasa memelihara hubungan baik, pemenang akan berkuasa, dan memerintah dengan adil dan saksama.  

2.3.1    Menghormati Autoriti

Dalam HMM ini, dapat dilihat pandangan hidup burung garuda yang tetap menghormati Nabi Allah Sulaiman sebagai autoriti dan yang berkuasa di dunia pada waktu itu. Walaupun burung garuda tersebut merancangkan kejahatan dengan berniat mahu memisahkan Raja Rum dengan puteri benua China, dia tetap bertanya dan merujuk kepada Nabi Allah Sulaiman untuk memberitahu akan rancangannya itu.



                                i.            Maka kata burung garuda kepada burung rajawali: ‘Dimana dapat ia sekalian hendak mengerjakan pekerjaan itu? Pada fikiranku tiada boleh jadi, tetapi nantilah dahulu, aku hendak pergi menghadap Nabi Allah Sulaiman karena ia itu raja besar di dalam dunia ini. Jikalau sudah ada seperti yang demikiann itu, tiadalah aku beri jadi pekerjaan nikah keduanya anak raja dua buah negeri itu’ (HMM : 3)


2.3.2 Percaya kepada Takdir 

Pandangan hidup ini dapat kita lihat dalam diri Nabi Allah Sulaiman. Baginda sangat percaya kepada takdir. Hal ini dapat dilihat dalam kepercayaan baginda mengenai jodoh pertemuan yang tidak dapat dipisahkan.



                                i.            Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, ‘Hai burung garuda, demi Tuhan yang menjadikan aku, adapun jodo pertemuan itu didalam batu atau didalam kayu sekalipun tiada yang dapat mencheraikan dia’ ( HMM : 3)


2.3.3    Berpegang kepada Janji

Sungguhpun, burung garuda memasang niat yang tidak baik dan merancang perpisahan antara raja Rum dan puteri raja benua China, namun dia seorang yang berpegang kepada janji. Burung garuda berjanji kepada Nabi Allah Sulaiman akan mengundurkan diri dan tidak mengganggu kedua-dua anak raja tersebut andainya dia tidak berjaya memisahkan kedua-duanya. Janji burung garuda ini ditepatinya dan dia pergi membawa diri ke laut Kalzum yang jauh daripada manusia.



                                i.            Maka sembah burung garuda, ‘Jikalau ada hidup anak Raja Rum itu serta bertemu dengan anak Raja China yang perempuan tiga berhamba itu, bahwa sesungguhnya tiadalah hambamu ubahkan seperti janji hambamu daripada zaman ini hendak berundur diri daripada segala kaum sifat manusia itu dan dimanakan boleh hambamu mungkirkan janji hambamu dengan Nabi Alla hendak undur dari bawah langit dan atas bumi yang didiami oleh segala manusia, ya Nabi Allah. Beranikah hambamu membuat dusta kepada Nabi Allah?’          (HMM : 19)

                              ii.            Maka burung garuda itupun berdatang sembah, ‘Ya  Nabi Allah, hambamu pohonkan ampun banyak2 diatas nyawa badan hambamu daripada kesalahan hambamu yang telah lalu itu. ya Nabi Allah, mohonlah hambamu pada tahun, bulan, hari ini, hendak pergi keluar daripada bawah langit dan bumi ini, barang kemana hambamu bawa diri, hambamu diberi izin oleh Nabi Allah diatas hambamu ini.’ (HMM : 20-21)


2.3.4    Mengagungkan dan Mempercayai Kekuasaan Tuhan

HMM ini juga memperlihatkan betapa Nabi Allah Sulaiman sangat mengagungkan dan mempercayai akan pekerjaan dan kekuasaan Tuhan. Baginda percaya bahawa hanya Tuhan yang mempunyai kuasa atas segalanya dan manusia atau makhluk Tuhan tidak dapat menentukan sesuatu perkara sekalipun. Baginda percaya kepada janji Tuhan dan kekuasaan Tuhan. Kepercayaan baginda dapat dilihat semasa baginda berkata-kata dan memberi pengajaran dan tauladan kepada raja-raja dan menteri-menteri berkenaan dengan tindakan burung garuda yang cuba mencabar kekuasaan Tuhan dengan memisahkan manusia yang telah ditetapkan-Nya untuk bersatu.



                                i.            Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, ‘Hai segala raja2 dan menteriku bangsa yang baik2, hendaklah engkau dan kamu sekalian ketahui, demi Tuhanku yang menjadikan aku dan kamu sekalian diatas segala makluknya, dalam empat perkara ini hendaklah jangan sekali-kali ditentukan, jikalau tiada dengan janji daripada Tuhan alam. Pertama rezki, sedikit atau banyak ada sehari semalam itu tiadalah segala makluk hendak tentukan, sekalian dengan janjinya juga. Kedua, perkara yang memutuskan rezkinya, seperti yang akan datang mara dan maut, hendak mengetahuikan dia dan hendaklah jangan kamu tentukan bumi tempat kematiannya, melainkan kesudahannya dengan janji Allah jua. Ketiga, perkaranya jodo pertemuan satu2 makluknya; jikalau berhimpunlah seisi alam dunia ini daripada segala bangsa yang dijadikan Allah Ta’ala, hendak mencheraikannya, melainkan dengan kehendak Tuhan yang menjadikan sekalian alam jua, dengan janjinya. Keempat, perkara pencheraian yang sudah sampai waktu, saat harinya, tiada akan dapat hendak menantikan esok harinya, tiadalah boleh, melainkan dengan sekaliannya itupun dengan janjinya jua.’ ( HMM : 20)

                               

2.3.5 Mengambil Keputusan daripada Tindakan yang Difikirkan

Pandangan hidup dalam karya agung ini juga turut memperlihatkan bahawa terdapatnya manusia yang mengambil keputusan berdasarkan tindakan yang difikirkannya. Contohnya, anak tengah Raja Merong Mahapudisat disuruh ayahandanya mencari bumi yang baik untuk membina negeri baru. Baginda bertemu dengan beberapa pulau yang cantik dan sesuai dijadikan penempatan. Oleh hal demikian, baginda mengambil keputusan untuk memilih sebuah pulau sahaja yang terkena dengan anak panahnya itu.



                                i.            Maka diambilnya sebiji anak panahnya daripada perak yang amat putih, lalu dikenakannya kepada busurnya yang bernama Panah Indera Sakti, katanya, ‘Hai Indera Sakti, jatuhlah engkau kepada bumi pulau tiga empat biji itu. dimana engkau jatuh sekarang, disitulah aku perbuat negeri dan kota parit tempat aku diam.’ Maka ditariknya busurnya itu serta memanahkan ke udara berdengung-dengung bunyinya seperti kumbang menyering bunga lakunya, hilang ghaib. Seketika datanglah jatuh pada suatu tempat pulau; dengan sebab itulah dinamakan Pulau Indera Sakti. ( HMM : 34)


                       2.3.6    Sentiasa Memelihara Hubungan Baik

Dalam hikayat ini, Raja Seri Mahawangsa berfikir dan berharap akan hubungan baik antara dia dan adik beradiknya akan berkekalan sampai anak cucunya. Dengan demikian, nama baik sahaja yang diingat orang pada masa akan datang, bukannya kejahatan.



                                i.            ‘Apa juga yang baik aku hendak membalaskan akan anak saudaraku itu,’ dengan tilik nazarnya dan fikirnya yang putus di dalam hatinya, biarlah jangan lagi tersebut nama kejahatan pada seisi alam dunia ini, supaya jangan jadi berputusan daripada umur aku ini boleh sampai pada anak chuchu jangan tersebut nama kejahatan pada segala raja2 dan pada khalayak sekalian.’ (HMM : 37-38)


Selain itu, ditunjukkan semasa Raja Merong Mahawangsa mendapat utusan yang membawa utusan perkhabaran anak sedaranya yang selamat dilahirkan beliau menunjukkan sikap menjaga hubungan dengan baik dengan menyuruh memberi perutusan tersebut persalinan, dan hadiah untuk diutuskan kepada kakandanya.



                                i.            Maka utusan itupun diberinya persalinan, dan hadiah akan paduka kakanda pula dengan beberapa pakaian yang indah2 dan kain yang halus2 serta dipesan pula oleh Raja Seri Mahawangsa dengan titahnya, ‘Hendaklah tuan hamba sekalian sembahkan pada saudara kita, jika ia beroleh anak beri jua khabar ke negeri Kedah ini, demikianlah kita hantarkan. Jikalau kita tiada sekalipun, kita pesan taruh kepada anak chuchu kita biar sampai kepada akhir zaman, nischaya tersebutlah nama kita pada alam dunia ini tanda kita berkasih-kasihan.’ (HMM : 38-39)


            2.3.7    Pemenang akan Berkuasa

Pandangan hidup ini dapat dilihat dalam diri Raja Kelana Hitam. Baginda berminat untuk menjadi raja negeri Kedah memandangkan sebelum ini terdapat perkhabaran bahawa negeri tersebut tidak beraja sampailah mereka menemukan anak Raja Bersiung dan menabalkannya menjadi raja. Apabila diceritakan keadaan Kedah yang sudah kembali beraja, Raja Kelana Hitam tidak berpuas hati. Oleh sebab itu, baginda memutuskan untuk mengambil negeri Kedah secara rampasan jika tidak diizinkan menjadi raja.


                                i.            Demi didengar oleh Raja Kelana Hitam, maka naik marahlah ia, mukanya merah seperti bunga raya, serta titahnya, ‘Main yang mana kamu tewas dan peperangan yang mana kamu sudah alah, tiada patutkah aku menjadi raja didalam negeri Kedah? Jika tiada boleh aku menjadi raja dengan baik, maka kuambil juga dengan senjataku. Maka hendaklah kamu katakan pada penghulu engkau itu, jikalau ia hendak menggalang-galang dan menyekat kami sekalian ini hendak pergi ke negeri Kedah itu, keluarlah ia ke medan peperangan melihatkan pertikaman kami, baik esok atau sekarang ini, itupun yang mana jadi keseukaan kamu.’(HMM : 64)

    
        
            2.3.8      Memerintah dengan Adil dan Saksama

Pandangan hidup ini diceritakan oleh menteri Kelahum kepada Raja Phra Ong Mahapudisat supaya baginda berpegang kepada pandangan tersebut dalam pemerintahannya. Dia mengajar dan menasihati Raja Phra agar sentiasa memiliki kasih kepada rakyat jelatanya. Dengan kasih, baginda pasti dapat memerintah dengan bijaksana dan menjadi pemerintah yang disayangi oleh rakyat.



                                i.            Setelah itu lalu diperjamukan makan minum pula kepada sekaliannya itu serta dengan memalu bunyi-bunyian dan mengajarkan Raja Phra Ong Mahaputisat itu sharat orang menjadi raja: ‘Mahulah baik2, menaruh sabar dan mengasihani diatas segala rakyat bala dan daripada hamba sahaya sekalipun mahulah dengan adil dan murah hati dengan memberi derma kurnia sedekah akan fakir miskin dan yang patut dibunuh sehari itupun hendaklah ditaruh sampai tiga empat hari supaya dihalusi baik2 baru dibunuh dan yang mana menjadi raja didalam negeri Kedah bumi tanah itupun jangan duduk setempat buat kota parit tempat yang diam itu dan mahulah ada seorang raja yang memegang negeri mahulah suatu kota. Maka menjadi ramailah orang bumi tanah Kedah ini. Adapun tanah bumi ini baharulah sangat menjadi daratan tempat kita duduk inipun baik tempat bumi tanah yang baik dengan daratan boleh diperbuat seperti kota parit akan tempat segala raja2 hendak dibuat negeri duduk itu.’ (HMM : 71)


            2.4       Nilai Ilmu
Hassan Ahmad (2000 : 34), menyatakan bahawa terdapat gambaran secara menyeluruh tentang budaya ilmu orang Melayu. Gambaran ini diperoleh dalam tradisi orang Melayu yang ada kaitannya dengan pengalaman (praktik), abad dan budi. Ilmu yang berdasarkan pengalaman dan pemerhatian ini sebenarnya merupakan ilmu yang lebih penting berbanding dengan ilmu abstrak. Nilai ini digambarkan dalam sastera Melayu melalui istilah “pandai” : pandai besi, pandai keris, pandai emas dan sebagainya. Petua orang tua-tua, yang dianggap sudah diuji zaman atau pengalaman, sangat dihormati dan dijadikan rujukan  ilmu ( yang juga penting untuk memelihara adat dan warisan     bersama ).
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013 : 1081), perkataan nilai adalah merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Mohd Rashid Md Idris (2011: 12), menyatakan bahawa nilai boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Nilai sememangnya membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau buruk dan betul atau salah. Oleh yang demikian, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia.
Ilmu pula bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain (2013:567). Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa ilmu adalah satu perkara yang sangat berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat. Terdapat pelbagai jenis ilmu yang dapat diperoleh dalam karya agung Melayu seperti ilmu firasat, ilmu pendukunan, ilmu jampi, ilmu pengasih dan sebagainya. Mana Sikana (1996) membahagikan bidang falsafah kepada enam nilai ilmu iaitu ilmu teologi, ilmu etika, ilmu estika, ilmu mantik, ilmu metafizika, dan ilmu kosmologi.
Berdasarkan HMM, terdapat beberapa nilai ilmu yang boleh dikaitkan dalam aspek ilmu antaranya ialah :

2.4.1    Ilmu Teologi

Istilah teologi berasal daripada perkataan ‘Theos’ (Yunani) yang diertikan sebagai ‘Tuhan’ dan ‘Logos’ yang memberi maksud ‘ilmu’. Jadi, ilmu teologi dapat diinterprestasikan sebagai ilmu tentang Tuhan atau ilmu ketuhanan. Ilmu teologi berkisar tentang Tuhan dan hubungannya dengan manusia, sama ada berdasarkan kebenaran wahyu ataupun penyelidikan akal murni. Ilmu teologi berfungsi untuk memantapkan kepercayaan-kepercayaan dan keimanan bagi menghilangkan pelbagai keraguan dari sudut Islam.

Berdasarkan HMM, terdapat ilmu teologi yang menunjukkan unsur kepercayaan kepada Tuhan di dalam karya tersebut :



                                i.            Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, “Hai burung garuda! Demi Tuhan yang menjadikan aku, ada pun jodoh pertemuan itu di-dalam batu atau di-dalam kayu sekali pun tiada siapa yang dapat mencheraikan dia” (HMM : 5)

                              ii.            “Hai chuchu-ku, tiada apa-nya nenek hendak berbuat di-atas chuchu-ku yang tiga berhamba ini, hanya nenek menanti janji dengan Nabi Allah Sulaiman jua; tiada berapa lama-nya nenek hendak kembalikan chuchu-ku kapada ayah bonda chuchu-ku jua. (HMM: 23)

                            iii.            “Ya Nabi Allah, hamba-mu pohonkan ampun banyak2 di-atas nyawa badan hamba-mu daripada kesalahan hamba-nya yang telah lalu itu; ya Nabi Allah, mohon-lah hamba-mu pada tahun, bulan, hari ini hendak pergi keluar daripada bawah langit dan bumi ini barang ka-mana hamba-mu bawa diri hamba-mu di-beri idzin oleh Allah di-atas hamba-mu ini”. (HMM: 30)

                             iv.            Maka titah raja, “Hendak-lah saudara-ku keempat turutkan saperti kehendak tuan Sheikh Abdullah ini, barang kata-nya itu dengan hukum Allah dan sabda Nabi Muhammad Rasullah lagi yang di-dalam kitab Qur’an itu jua yang diturut oleh tuan ini.”(HMM: 147)


2.4.2    Ilmu Etika

Teori tentang tingkah laku manusia yang dilihat dari sudut baik dan  buruknya, sejauh yang dapat ditentukan akal merupakan ilmu etika. Kata etika berasal daripada kata ethos yang bermaksud adat kebiasaan. Etika berbeza dengan pengertian moral. Moral merupakan tindakan manusia yang baik dan wajar, manakala etika pula lebih bersifat teori dan lebih menyelidik, memikir dan mempertimbangkan tentang yang baik dan yang buruk. Jadi, moral ini sebenarnya dibentuk daripada etika yang lahir hasil daripada budaya manusia.



                                i.            Maka termashor-lah Raja Merong Mahawangsa itu sudah dudok menjadi raja pada tempat itu. Maka segala dagang senteri pun berhimpun-lah datang berniaga ke-dalam negeri itu, dengan baik budi bahasa-nya baginda itu serta ra’ayat menchari makan pergi mari ka negeri. (HMM : 19)

                              ii.            Maka segala menteri hulubalang pun gemar-lah sangat melihat budi pekertinya serta dengan pandai mengambil hati sekalian menteri hulubalang tambah pula di-atas segala fakir, miskin, dagang santeri sekalian serta dengan tegor sapa siapa yang bertemu dengan dia. (HMM: 46)

                            iii.            Ada pun Raja Ong Maha Perita Daria pun sangat-lah besar hati-nya hendak di-buboh chermin segala batu kota-nya itu tetapi perangi-nya makin besar panjang makin kahar kalu-nya, banyak sangat menganiayai akan orang, sedikit jua adil-nya. (HMM: 63)

                             iv.            Bermula ada-lah sa-orang orang Seri Gunong Ledang bernama Kampar yang amat jahat-nya. (HMM: 70)



                         
2.4.3    Ilmu Estetika

Ilmu yang membahaskan tentang keindahan dan kesenian disebut sebagai estetika. John Cohn (1869-1967), seorang ahli falsafah Jerman mendefinisikan estetika sebagai teori tentang keindahan dan seni, manakala Maz Dessoir yang hidup pada zaman yang sama juga mengatakan bahawa lapangan estetika jauh lebih luas daripada bidang keindahan. Ruang lingkup estetika merangkumi hal-hal yang berkaitan dengan sedih dan lucu, yang bergaya dan yang mulia, bahkan yang buruk atau busuk pun dapat dikaitkan dengan keindahan, keindahan yang relatif. Konsep keindahan yang dikenali sebagai al-jamal terdapat dalam Islam.

Antara nilai ilmu estetika yang terdapat dalam HMM adalah seperti contoh-contoh di bawah:



                                i.            Maka darah pun banyak-lah tumpah ka-bumi mengalir seperti ayer deras laku-nya dan kepala pun seperti buah masak gugor ka-bumi dan berkaparan segala senjata yang patah dan sumbing dan rosak binasa, itu pun jadi sula dan ranjau menikamkan kaki tangan orang yang berkelahi. (HMM: 156)


2.4.4    Ilmu Metafizika

Aristotle menyatakan bahawa ilmu metafizika merupakan ilmu agama kerana beliau percaya dengan kewujudan Tuhan, dan itu sebagai tanda alam daripada segala yang wujud. Manakala Al-Kindi pula memandang metafizika itu sebagai falsafah yang membahaskan tentang makhluk dan alam abstraknya. Ibnu Sina menyatakan tentang argumentasi ontology yang berkisar tentang pemikiran tentang ilmu kejadian dan hakikatnya. Falsafah ini berbicara tentang tiga subjek yang menjadi perbincangan iaitu Tuhan, manusia dan benda-benda yang tidak berakal seperti pohon, air dan lain-lain.

Berdasarkan HMM, terdapat beberapa contoh yang menunjukkan unsur ilmu metafizika, antaranya :



                                i.            “Tiada dapat tuan hamba bertemu dengan penghulu shaitan dan iblis itu neschaya habis-lah tertinggal segala amal ibadat tuan hamba kepada Allah Ta’ala di-bawakan pada jalan yang sesat.”(HMM: 113)

                              ii.            Bermula Sheikh Abdullah Yamani itu dudok-lah ia di-bawah pohon kayu itu sampai-lah waktu rembang matahari sambil membacha Qur’an dengan perlahan2 tiada berhenti. (HMM: 114)

                            iii.            Maka kata guru-nya, “Jika perlahan sa-kali pun di-ketahui-nya juga neschaya undor-lah ia daripada kita.”(HMM: 115)


2.4.5    Ilmu Kosmologi

Ilmu kosmologi merupakan falsafah yang mengkaji tentang hal-hal yang berhubung dengan alam disebut sebagai kosmologi.  Alam berhubung dengan kejadiannya,

“Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi, pertukaran malam dan siang, kapal yang berlayar di lautan yang memberi manfaat kepada manusia, air hujan yang diturunkan Tuhan dari langit, maka dihidupkan bumi yang sudah mati dan berkeliaranlah pelbagai bangsa binatang dan perkisaran angin dan disuruh bekerja di antara langit dan bumi, sesungguhnya semua itu menjadi bukti kebenaran untuk orang-orang yang berakal.” (Surah al-Baqarah, ayat 164).

Antara ilmu kosmologi yang terdapat dalam HMM ialah seperti contoh di bawah :



                                i.            Maka kelihatan-lah pada mata sekalian datang tedoh redum dari sa-belah matahari hidup itu seperti hendak menimpa atas segala kapal, kechi, bahtera. (HMM : 9)

                              ii.            Maka datang-lah pula burung geroda itu dengan hebat dan garang-nya seperti tiada berlawananlah kelakuan rupa-nya; datang dengan angin ribut, guroh, petir, kilat sabong menyabung. (HMM : 11)

                            iii.            Lalu bertemu-lah dengan tanah bumi yang baik terlalu-lah indah tempat-nya dengan tanah-nya menjadi tiada-lah turun ka-bahtera-nya; gila dengan membuat kota, istana dengan balai-nya yang terlalu amat besar-nya lagi dengan indah-nya. (HMM:19)

                             iv.            Maka ada-lah kapada suatu hari ketika burong garuda itu pergi menchari makan tiada ia di-pulau itu, maka turun-lah tuan puteri anak Raja China itu serta dengan inang pengasoh-nya datang ka-tepi laut itu menchari ketam, siput di-susur pantai itu. (HMM : 20)

                         

2.4.6    Ilmu Jampi

Jampi menurut Kamus Dewan (2010), membawa makna kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Mana Sikana (1996) pula berpendapat bahawa jampi serapah tidak hanya sekadar penglahiran perasaan seperti puisi. Ia ada hubungannya dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Jampi dikatakan sebagai sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutama pada perubatan. Pawang sebagai pembaca jampi adalah manusia yang luar biasa dan disifatkan sebagai manusia perantaraan makhluk dengan Khaliq atau supernatural.

Kedudukan pawang dalam hierarki kemasyarakatan adalah jelas. Jampi mantera yang diucapkan telah mendapat tempat yang istimewa. Jampi mempunyai unsur-unsur pemujaan, perubatan, kasih sayang, pendinding dan berhubung dengan psikologi manusia. Biasanya pawang, dukun, bomoh atau orang yang memakainya tidak begitu mudah memberikan jampi serapahnya kepada orang lain. Mereka bimbang jampi serapah yang diketahui itu tidak mujarab lagi, melainkan orang yang sudah menuntut dan orang lain tidak boleh menggunakannya. Jika digunakan juga dia akan menerima padahnya.

Antara ilmu jampi yang terdapat dalam HMM ialah seperti contoh di bawah :



                                i.            “Hao ahlil-nujum, hendakl-lah tuan hamba lihat di dalam nujum itu ka-ma juga raja dalam negeri itu dan siapa patut kita gantikan menjadi raja?” Maka  ahli-nujum pun menyembah lalu membuka surat nujum-nya, di-tilek satu ketika; maka ia berdatang sembah. (HMM: 82)

                         
            2.5       Teknik Kepengarangan

Bidang kesusasteraan juga mementingkan nilai estetik dan kepengarangan dalam karya agung. Kedua-dua ini memainkan peranan bagi menghasilkan sebuah karya yang mantap serta menarik. Setiap pengarang mempunyai ideologi masing-masing untuk menyampaikan sesuatu kepada pembaca. Hal ini demikian kerana ideologi ini menunjukkan kelainan pengarang dengan pengarang yang lain. Estetik merujuk juga kepada nilai estetika yang mempunyai hubungkait dengan persoalan keindahan yang menjadi dasar karya sastera. Bagi kepengarangan pula merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang itu semasa berkarya (2014:96).

Berdasarkan HMM ini, mendapati bahawa hikayat ini sarat dengan penceritaan sejarah tentang bermulanya pembukaan negeri Kedah. Hikayat ini banyak menyelitkan kisah-kisah yang sinonim dengan negeri Kedah. Pengarang juga menggunakan unsur bahasa sastera yang sangat tinggi namun, masih boleh difahami oleh pembaca. Berdasarkan hikayat ini, pengarang telah menggunakan beberapa teknik kepengarangan dalam menghasilkannya, antaranya :

2.5.1    Penggunaan Bahasa

Dalam hikayat ini, pengarang menggunakan unsur bahasa yang menarik seperti penggunaan istilah Arab yang jelas dalam hikayat ini. Perkara ini dapat dilihat berdasarkan ayat tersebut,



                                i.            Sa-bermula maka tersebutlah-lah perkataan negeri Baghdad itu sa-lama peninggal  nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam.         (HMM: 111)
                                               
                           
2.5.2    Teknik Pemerian

Selain itu, pengarang juga menggunakan teknik pemerian dalam penulisan karya. Teknik ini hadir ketika pengarang  melakukan penjelasan atau  huraian berkaitan sesuatu idea. Teknik berfungsi untuk memberikan pengetahuan atau maklumat kepada pendengar atau  pembaca. Dalam hikayat ini, pengarang banyak menggunakan teknik pemerian bagi menjelaskan sesuatu perkara dengan lebih jelas. Perkara ini dapat dilihat berdasarkan pemerian tentang bermulanya kemunculan tumbuhnya siong yang menjadi permulaan bagi cerita Raja Bersiong. Perkara dapat dibuktikan melalui penceritaan tersebut,



                                i.            Hatta pada suatu hari Raja Bersiong dudok di balai rongnya sa-telah datang-lah tengah hari rembang maka Raja Bersiong pun masok-lah ka-istana pergi mandi. Maka tatkala itu gerau yang di-dapor itu pun tengah memotong sayor bayam dengan gopoh-nya hendak di-perbuat gulai lechek maka terleka-lah mata-nya sedikit, maka tersayat-lah hujong jari-nya dengan pisau. Maka pada sangkanya tiadalah keluar darah itu. (HMM: 67)

                                                                                                              
2.5.3    Teknik Pemujukan

Selain itu, pengarang juga menggunakan teknik pemujukan dalam hikayat ini. Teknik ini digunakan untuk menarik perhatian seseorang sama ada untuk ke arah kebaikan atau keburukan. Dalam hikayat ini memperlihatkan teknik pemujukan ketika nenek burung garuda ingin mendapatkan pakaian buat puteri Benua China. Nenek cuba memujuk puteri untuk memberitahu keberadaan pakaian bagi persalinan puteri. Perkara ini dapat dilihat berdasarkan perkara tersebut,



                                i.            “Hai chuchuku, tiada apa-nya nenek hendak berbuat di-atas chuchu-ku yang tiga berhamba ini, hanya nenek menanti janji dengan Nabi Allah Sulaiman jua: tiada berapa lama-nya nenek hendak kembalikan chuchu-ku kepada bonda chuchu-ku jua.Maka sekarang ini di-mana jua tempat-nya segala pakaian chuchu-ku di-dalam istana ayah bonda chchu-ku di Benua China itu-kah ada atau kepada tempat yang lain-kah?Hendaklah chuchu-ku katakan kapada nenek supaya boleh nenek pergi ambil beri akan chucu-ku. (HMM: 23)

                              
2.5.4    Teknik Percontohan

Pengarang juga menggunakan teknik pencontohan bagi menjelaskan tentang sesuatu perkara. Dalam hikayat ini teknik pencontohan sekiranya dibaca sekali imbas tidak kelihatan kerana ayat yang menunjukkan percontohan tidak kelihatan dengan jelas. Pembaca perlu membaca dengan teliti. Berdasarkan ayat di bawah memperlihatkan teknik pencontohan yang digunakan dalam hikayat ini.



                                i.            Sa-telah sudah balai itu maka di-nama-nya akan dia Langkasuka, kerana mengerjakan itu dengan makan minum dan bersuka-sukaan serta dengan beberapa binatang jenis-nya daripada rusa, kijang, pelandok, napoh, sapi dengan segala perburuan yang di-makan oleh sakalian-nya; terlalu-lah amat kesukaan-nya serta dengan tepok tarinya...”  (HMM: 19)


2.5.5    Teknik Analogi

Tambahan lagi, pengarang juga menggunakan teknik analogi yang ingin menunjukkan gambaran yang berlebihan tentang sesuatu perkara. Pengarang menggunakan teknik ini ingin menjelaskan dengan terperinci tentang sesuatu peristiwa itu berlaku. Penggunaan teknik menggambarkan hasil karya ini mempunyai nilai yang tinggi kerana pengarang mengertikan sesuatu perkara yang berlaku itu lebih dasyat dan di luar jangkaan. Perkara ini dapat dilihat berdasarkan ayat di bawah.



                                i.            Sa-telah demikian itu maka di-kerjakan orang lima ratus itu dengan tempek sorak-nya terlalu ramai-nya saperti akan terchabut kota itu daripada kebanyakan tentera yang melanggar empat penjuru kota itu. Jikalau guroh halilintar di langit sa-kali pun tiada kedengaran lagi daripada sangat banyak azamat bunyi itu.(HMM: 76)


2.5.6    Unsur Mitos
                                                                                                         
Pengarang menggunakan banyak unsur mitos dalam penceritaannya. Unsur mitos ini sebagai menghidupkan sesutau karya itu. Unsur mitos ini dapat dilihat melalui cerita dongeng burung garuda yang kononya tinggal berseorangan di Pulau Langkawi. Pengarang cuba menimbulkan mitos ini supaya ia menjadi kekuatan kepada hikayat ini. Perkara ini dapat diperlihatkan berdasarkan kenyataan tersebut,



                                i.            “Hai burung garuda! Demi tuhan yang menjadikan aku, ada pun jodoh pertemuan itu di dalam batu atau di dalam kayu sekali pun tiada siapa yang dapat mencheraikan dia.” Maka sembah burung garuda “Ya Nabi Allah, atas pekerjaan itu atas hambamulah mencheraikan dia.”(HMM: 5)                                    


      
            2.6       Seni Bahasa

Pengkarya-pengkarya sastera Melayu tradisional sememangnya orang yang begitu hebat dari segi penguasaan bahasa. Hal ini demikian kerana, mereka mampu menggunakan bahasa yang indah dan kreatif untuk mengungkapkan sesebuah peristiwa yang telah berlaku. Buktinya, dalam karya-karya sastera Melayu tradisional seperti dalam karya sastera hikayat, pengarang telah menggunakan bahasa yang amat memberi kesan kepada pembaca agar pembaca dapat menggambarkan kehebatan watak-watak yang digambarkan dalam karya. Dalam karya sastera tradisional, pengarang kebiasaannya menggunakan teknik-teknik seperti teknik metafora, teknik hiperbola, dan teknik simile, untuk menimbulkan rasa kagum pembaca terhadap karya yang mereka baca.

Berdasarkan hikayat yang kami kaji iaitu HMM iaitu hikayat yang berkaitan  dengan negeri Kedah yang meceritakan asal usul Merong Mahawangsa dan pengasas kepada negeri Kedah, pengkaji telah menerapkan pelbagai aspek seni bahasa dalam hikayat ini. Dalam tugasan ini, kami hanya akan memuatkan tiga sahaja teknik seni bahasa iaitu teknik metafora, teknik hiperbola, dan juga teknik simile.

2.6.1    Teknik Metafora

Perkataan metafora merupakan sebuah perkataan yang berasal daripada bahasa Yunani iaitu  hasil daripada gabungan dua buah perkataan iaitu kata ‘meta’ dan ‘pherein’. Kata ‘meta’ membawa maksud memindahkan, manakala kata ‘pherein’ pula bermaksud membawa. Nik Hassan Basri (2005) mengatakan  sifat gaya bahasa perbandingan metafora adalah mengandungi satu perkataan yang bersifat konkrit dan satu perkataan pula yang bersifat abstrak. Gaya bahasa perbandingan metafora membandingkan sesuatu secara tidak terus. Gaya bahasa metafora merupakan gaya bahasa yang paling ringkas, padat, dan teratur. Boleh disimpulkan bahawa metafora merupakan pemakaian kata-kata untuk mengungkapkan makna yang berlainan daripada makna asalnya. Selain itu, gaya bahasa metafora boleh juga diertikan sebagai kiasan. Berikut merupakan contoh penggunaan metafora yang terdapat dalam HMM;



                                i.            Maka di-dalam negeri Kedah ini pun jangan sa-kali2 anak-ku suroh tinggalkan kerana zaman ini banyak sangat bumi yang hampa yang tiada orang diam diami… (HMM: 43)

                              ii.            Sa-telah sudah siap maka tunggul panji2 pun berkibaran-lah serta disuroh-nya pula gendang perang menaikkan berani hati yang takut. (HMM: 75)

                            iii.            Maka Raja itu ka-negeri Kelinggi pun tiada ia tundok dan ka-Benua Siam pun ia tiada di-ta’alok kerana hati-nya keras hingga ia dudok menghimpunkan ra’ayat-nya daripada bangsa Semang dan Wila dan ra’ayat bukit dan sa-bagai-nya di-gelar-nya nama penghulu yang besar2-nya di-suroh-nya dudok berkeliling tasek Ayer Tawar itu…(HMM: 88)

                             iv.            …sama ekor pun bersimbat-lah ber-karang membicharakan bisa senjata-nya. (HMM: 94)

                    

2.6.2    Teknik Hiperbola

Hiperbola merupakan sebuah teknik kepengarangan yang memberi gambaran yang berlebih-lebihan terhadap sesuatu yang diperkatakan. Tujuan penggunaan teknik hiperbola adalah untuk menarik perhatian pembaca untuk terus membaca karyanya. Hiperbola tidak mementingkan ketepatan gambaran. Penggunaan teknik hiperbola bukanlah untuk menarik perhatian pembaca untuk mempercayai kata-kata pengarang, tetapi sekadar untuk memastikan cerita tersebut dapat difahami oleh pembaca.

Hiperbola ialah perkataan yang berasal daripada bahasa Yunani. Kata majmuk ini dibina melalui gabungan perkataan ‘hyper’ yang bermaksud melebihi dan ‘ballien’ bererti luahkan atau keluarkan. Jadi maksud hiperbola ialah pembaziran atau suatu cara yang melebih-lebihkan semata-mata untuk mencapai kesan tertentu, iaitu suatu gaya bahasa yag mengandungi kebenaran yang diperbesar-besar.

Hiperbola merupakan salah satu daripada kelompok gaya bahasa pertentangan ialah sejenis gaya bahasa yang mengandungi kenyataan tentang sesuatu perkara secara berlebih-lebihan atau secara melampau waima daripada segi jumlahnya, ukuran atau sifatnya. Tujuan penggunaan teknik hiperbola adalah untuk memberi penekanan kepada maksud terhadap sesuatu perkara demi memperhebat, meningkatkan kesan dan pengaruhnya (Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir, 2005).

Corbett dan Connors, 1999 (Abu Hassan Abdullah, 2013: 87) hiperbola ialah penggunaan istilah yang membesar-besarkan dengan tujuan memberi penekanan atau kesan memperhebat.  Menurut Lanham, 1968 (Abu Hassan Abdullah, 2013: 87), hiperbola atau superlatio bermaksud menyatakan sesuatu dengan cara berlebih-lebihan. Penggunaan gaya bahasa hiperbola sememangnya banyak dalam HMM dan berikut merupakan contoh penggunaan gaya bahasa hiperbola dalam HMM;



                                i.            … sekarang ini ia hendak meminang anak Raja Benua China kerana negeri kedua itu terlalu-lah jauh-nya; sa-buah negeri itu sa-belah matahari naik dan sa-buah negeri di sa-belah matahari mati. (HMM: 4)

                              ii.            …Sa-telah itu maka burong garuda itu pun terbang-lah naik ka-udara sampai pergi mengaras awan udara, berasap-lah kelihatan dunia ini. (HMM: 4)

                            iii.            Maka Raja Merong Mahawangsa pun menarek busar anak panah-nya yang bernama Ayun2an itu ka-udara, bergemuroh-lah bunyi-nya saperti halilintar mem-belah, maka segera di-tepiskan dengan sayap-nya tiada kena. (HMM: 10)

                            iv.            Demi di-tarek-nya busar-nya lalu di-panahkan-nya ka-udara bergemuroh saperti taufan bunyi-nya di-udara itu; sa-ketika lagi datang-lah suatu gunong dari udara menahani daripada angin ribut taufan yang datang daripada burong garuda itu. (HMM: 10 - 11)

                               v.            Maka datang-lah pula burong garuda itu dengan hebat dan garang-nya saperti tiada berlawan-lah kelakuan rupa-nya; datang dengan angin ribut, guroh, petir, kilat sabong menyabong. (HMM: 11)

                             vi.            Lalu ia segera naik ke-atas beranda itu serta memegang panah-nya yang ber-nama Pusar Sempani Gembira. Anak panah itu merah menyala2 apu hujong-nya. Kata-nya, “Hai Pusar Sempani Gembira, pergilah engkau lawan burong garuda itu.” Maka segera-lah di-tarek-nya busar panah itu lalu di-buboh anak panah, di-panah-kan naik ka-udara bergemuroh bunyi-nya saperti taufan. sa-ketika keluar-lah kelam-kabut, datang-lah hantu shaitan di-dalam kelam-kabut itu menyakiti burong garuda itu. (HMM: 13)

                           vii.            di-panahkan naik ka-udara bergempita gemuroh bahana-nya di-dalam laut itu. Sa-ketika datang-lah burong jentayu menghambat burong garuda.       (HMM: 14)

                         viii.            Maka lebu duli pun ber-bangkit-lah ka-udara siang chuacha menjadi kelam-kabut. (HMM: 94)

                             ix.            Maka banyak-lah kaum gergasi itu mati, bertimbun2 bangkai-nya; darah pun banyak-lah tumpah ka-bumi saperti ayer sebak laku-nya. (HMM: 96)

                    

2.6.3    Teknik Simile

Simile pula ialah perumpamaan. Simile bermaksud menggunakan kata-kata perbandingan dan kata-kata ini bersifat eksplisit. Kata-kata perbandingan tersebut ialah seperti bak, laksana, bagai, ibarat, tamsil, dan umpama. Teknik simile digunakan untuk menyamakan sesuatu objek atau perkara dengan perkara yang lain dengan menggunakan kata-kata perbanding. (Rachmat Djoko Pradopo, 1993: 62). Selain menggunakan teknik metafora dan hiperbola dalam penceritaan hikayat ini, pengarang juga menggunakan teknik simile. Berikut merupakan gaya bahasa simile yang terdapat dalam HMM;



                                i.            … sa-telah sampai ka-pulau Langkapuri itu lalu di-bawa turun kerana sudah ada tempat-nya saperti rupa sa-buah mahligai, tempat itu-lah di-tarohkan-nya tuan puteri itu tiga dengan sahaya-nya serta di-chari-nya makanan di-hantarkan kapada tuan puteri itu… (HMM: 6)

                              ii.            … ada pun pelayaran angkatan anak Raja Rum hndak pergi kahwin ka-benua China itu ada-lah saperti burong terbang dan tiang-nya saperti batang pepara laku-nya… (HMM: 8 - 9)

                            iii.            … barang di-mana berlaboh dan berhenti itu saperti pulau yang besar serta dengan segala bunyi2an pun di-palu orang-lah terlalu adzmat bunyi-nya saperti akan terangkat-lah lautan itu. (HMM: 9)

                             iv.            Demi di-tarek-nya busar-nya lalu di-panahkan-nya ka-udara bergemuroh saperti taufan bunyi-nya di-udara itu; sa-ketika lagi datang-lah suatu gunong dari udara menahani daripada angin ribut taufan yang datang daripada burong garuda itu. (HMM: 10 - 11)

                               v.            Maka sorak tempek pun terlalu-lah adzmat tambahan dengan bunyi bedil meriam pun saperti berteh… (HMM: 12)

                             vi.            …burong garuda itu terbang melayangkan diri-nya saperti angin tofan yang besar bunyi-nya dan suara-nya saperti guroh dan halilintar membelah… (HMM: 12)

                           vii.            … Sa-telah dapat sudah peti itu maka ia pun terbang-lah kembali ka-atas udara saperti angin yang maha tangkas menuju ka-pulau Langkapuri itu. (HMM: 24)

                         viii.            Demi di-lihat oleh ular itu makin banyak datang itu maka ia pun segera-lah menjadikan diri-nya sa-ekor harimau garang terong kasau rupa-nya dengan besar panjang-nya, lalu bertempek dengan bergemuroh bunyi-nya bagaikan kiamat suara-nya itu tiada sangka bunyi lagi dengan suara manusia. (HMM: 72)

                            ix.            Demi di-dengar segala orang kata penghulu-nya yang demikian maka dengan segera-lah di-perbuat sigai dan tangga hendak naik ka-atas kota itu dengan sorak tempek tiada-lah sangka bunyi lagi gemuroh-nya dan yang di-dalam kota itu pun ramai di-lawan juga; di-tolak-nya mana yang lepas ka-atas kota itu pun gugor-lah saperti buah masak luroh daripada tangkai-nya, saperti budak bermain laku-nya. (HMM: 76)

                               x.            Demi di-dengar oleh Raja Kelana Hitam maka naik marah-lah ia, muka-nya pun merah saperti bunga raya serta titah-nya,… (HMM: 92)

                             xi.            Maka Maharaja Jakjakuja Raja jadi ekor-nya. Sa-telah sudah mengikat perang maka lalu sama tampil berperang, laksana kala terapit beramok2an…(HMM: 94)


                        

2.6.4    Bahasa

Dalam sesebuah karya, bahasa amat memainkan peranan yang penting dalam memastikan teknik penceritaan dapat disampaikan dengan berkesan. Selain itu, bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam sesebuah cerita juga menunjukkan zaman yang sedang dilalui oleh sesebuah kerajaan. Contohnya, sekiranya dalam Hikayat Hang Tuah dapat dilihat dengan jelas penggunaan bahasa Melayu dan bahasa sanskrit kerana mungkin pada waktu tersebut, agama Islam belum lagi dianuti secara menyeluruh. Kenyataan ini disokong oleh Kassim Ahmad yang menyatakan bahawa karya Hikayat Hang Tuah lebih bersifat alam Melayu dan bersahaja dan belum dipengaruhi oleh bahasa Arab. Perkara ini amat jelas dengan HMM yang begitu jelas sifat kearabannya. Berikut merupakan contoh perkataan dalam bahasa arab yang terdapat dalam HMM;



                                i.            Maka barang siapa membacha dia jangan-lah di-bicharakan lagi, terlalu amat sempurna bichara-nya; kerana hikayat ini tahu-lah kami akan perkataan kerana sabda Nabi Sallalallahu ‘alaihi-wassalam, “Tafakkaru fi zatulahi”, ya’ani bicharakan oleh mu pada segala kebesaran Allah, jangan kamu fikirkan pada zat Allah. (HMM: 2)

                              ii.            Sa-bermula maka tersebut-lah perkataan negeri Baghdad itu sa-lama peninggal nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalam, antara lima tahun Nabi Allah wafat di negeri madinah itu, maka banyak-lah segala aulia dan keramat dengan shari’at Nabi Muhammad Rasulullah di dalam isi negeri Baghdad itu. (HMM: 111)

                            iii.            ...ia-itu-lah di-namakan Qur’an dengan di-takuti pula oleh segala shaitan iblis dengan sebab kebenaran-nya... (HMM: 111)

                             iv.            ...di-buangkan oleh segala malaikat ka-laut yang bernama kalzum dengan sebab hendak menetapkan shari’at Nabi Muhammad Rasul-Allah dengan keramat kitab Quran dan hendak menentukan i’tikad yang sa-benar-nya yang bernama ugama Islam wa-rahamtul-ilahi wa barakatuh. (HMM: 112)

                               v.            Maka penghulu shaitan itu pun berjalan-lah pula dengan tuan Sheikh Abdullah pergi pada suatu negeri maka bertemu-lah dengan orang fakir meminta sedekah lima orang. (HMM: 121)


                    

3.0       Kesimpulan

Penulis HMM menjadikan konsep pensejarahan Melayu tradisi bagi memainkan peranan dalam menulis sebuah karya sastera yang bersejarah. Hal ini kerana, sejarah Melayu tradisional sendiri memberikan pelbagai gambaran dan suasana dalam menceritakan tentang kehidupan dan sistem tamadun pada zaman dahulu dan pegangan masyarakat pada ketika itu. Secara mudahnya, kebanyakan pembelajaran pada masa tersebut adalah berpandukan kepada semua sastera istana yang diperturunkan dan diajarkan kepada rakyat biasa. Segala nilai murni dan cara hidup, pendidikan agama, diberikan melalui pembelajaran dan karya – karya daripada istana, begitu juga dengan hiburan pada masa tersebut. Mitos dan lagenda yang disisipkan dalam hikayat ini menjadi suatu gambaran kepada kuatnya kepercayaan animisme masyarakat terdahulu, yang diketahui lebih awal mengenal agama Hindu sebelum datangnya agama Islam.

 Hingga ke hari ini, karya ini mampu menyampaikan mesej tersendiri dan boleh menjadi suatu bahan kajian kepada ketamadunan melalui pensejarahan Melayu tradisional dahulu. Jika dilihat, sungguhpun pada ketika itu, tiada lagi pemodenan, namun begitu, sistem istana, kesultanan, kerajaan, agama, adat dan kehakiman sangat tersusun dan lancar, begitu juga dengan hubungan diplomatik antara dua negeri iaitu Kedah dan Siam yang dikatakan sangat baik pada ketika itu. Justeru, jelas menunjukkan bahawa, karya sastera lama ini sebenarnya memiliki nilai estetikanya yang tersendiri dan mampu merangkumkan segala tatacara hidup bermasyarakat, pembelajaran berkenaan keagamaan, kerajaan dan nilai murni hanya melalui sebuah hikayat yang tidak diketahui penulisnya namun boleh memberikan pelajaran kepada pembacanya hingga ke hari ini.



No comments:

Post a Comment